PUTRAJAYA: Pemerkasaan aspek keselamatan dan kenteraman awam menjadi antara agenda utama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin menjelaskan, selain dua perkara tersebut, mewujudkan keharmonian merupakan agenda utamanya dalam menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata, aspirasinya itu seiring hasrat dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta peringatan Majlis Raja-Raja sebelum pembentukan Kerajaan Persekutuan, baru-baru ini.

Saifuddin menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha mencemarkan keharmonian dan kepentingan pelbagai kaum, agama atau latar belakang.

"Saya memikul tanggungjawab ini seiring slogan 'Keselamatan Tanggungjawab Semua' dan setiap lapisan masyarakat, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan mahupun sesiapa sahaja harus dapat mendokong aspirasi ini.

"Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan untuk melihat tugas utama kepimpinan politik negara selepas pilihan raya ialah bergerak ke arah kestabilan politik, selain menumpukan kepada kemakmuran ekonomi, isu rakyat, kos sara hidup dan keperluan mewujudkan keharmonian.

"Justeru, semua pihak perlu elak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjurus atau membuka peluang salah faham mahupun membangkitkan sentimen mengancam keharmonian," katanya pada sidang media selepas diberi taklimat di hari pertama memulakan tugas sebagai menteri dalam negeri.

Saifuddin yang dilantik memegang portfolio tersebut dalam pembentukan kerajaan persekutuan yang baharu dengan memulakan tugas secara rasmi hari ini.

Beliau tiba di bangunan ibu pejabat KDN di Putrajaya kira-kira pukul 9.30 pagi dengan disambut pegawai-pegawai kanan kementerian tersebut.