PELUANG sama rata.
Itu yang boleh saya simpulkan tentang perebutan kerusi N.13 Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang bakal ditentukan 9 Mei ini.
Selama ini kerusi DUN di bawah Parlimen P.136 Tangga Batu itu menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN), ini kali pertama ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan Pas.
Ada apa dengan Paya Rumput?
Sebuah mukim di dalam daerah Melaka Tengah ini yang dahulunya perkampungan ladang getah kini berevolusi menjadi sebuah bandar baharu dengan pembangunan demi pembangunan terlihat, pembukaan lebih banyak taman-taman perumahan, premis-premis perniagaan dan kewujudan pasar raya yang semakin merancakkan ekonomi penduduknya.
Dari segi komposisi pengundi, Paya Rumput memiliki 23,432 pengundi berdaftar, majoritinya berbangsa Melayu iaitu 56.29 peratus, 35.46 peratus bangsa Cina, 7.52 peratus bangsa India dan lain-lain bangsa selebihnya.
Dek pembangunan yang dibawa ke kawasan itu, rata-rata penduduk merasakan tiada isu setempat yang besar berbangkit. Boleh kata antara sebahagian penduduk yang saya temui berkata hidup semuanya 'ok' di situ.
Cumanya ramai yang saya temui mengeluh tentang kenaikan harga barang. Cakap-cakap politik di kedai kopi dan sembang dalam kumpulan ‘Whatsapp’ taman perumahan turut memperlihatkan dan dimaklumkan bahawa mereka terkesan dengan isu nasional.
Sebagai subjek, saya bertemu dengan seorang anak muda tempatan yang lahir dan membesar di Paya Rumput yang saya ajak untuk ditemu bual selepas dia memberi respon kepada bebenang ‘tweet’ saya di Twitter.
Fahmi Shah Budin, 23 tahun baru menamatkan pengajian diploma dalam jurusan teater di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka dan kini bekerja sebagai pemandu GrabCar sementara menunggu tarikh menyambung pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) September nanti.
Sejak lahir hingga kini menetap di rumah keluarganya di Taman Bertam Jaya di Cheng, dia menyaksikan perubahan itu.
“Tahun demi tahun, satu-satu projek naik.
“Dulu sekitar ni kawasan hutan pokok getah sahaja. Tempat ni dulunya gelap sekarang macam jadi bandar baru la,” kata Fahmi.
Dia bahagia hidup di situ. Cakap sahaja, semunya kini ada di tempatnya. Apa sahaja jenis bank, kedai buku, barang elektronik, kedai gunting rambut, francais makanan segera, malah kedai haiwan peliharaan juga klinik veterinar pun ada. Tempat saya di Ampang pun tidak ada klinik veterinar!
Cumanya apabila semakin meningkat dewasa, Fahmi merasakan tidak ada gerakan aktiviti anak muda setempat. Sebagai pelajar teater, dia menceritakan sukarnya mencari tempat yang sesuai untuk dia dan kumpulannya mempersembahkan sesuatu naskhah kepada khalayak.
“Kita belajar teater, kita nak praktikkan. Memang ada konsep ‘open theatre’, tapi takkan memanjang nak buat di jalanan? Kalau sesebuah pementasan yang ‘proper’ pula kurang-kurang kena tujuh kali. Takkan tujuh hari di ‘open space’ kan?
“Ada tempat di Melaka ini, itu pun mahal. Satu hari dalam RM2,000, mana kami pelajar nak ‘cekau’ duit?,” keluhnya.
Kompleks sukan orang ramai pun masih belum ada, adapun paling hampir di Batu Berendam, kira-kira setengah jam pemanduan dari Paya Rumput.
Mungkin itu antara faktor penyumbang kepada gejala merempit yang berlangsung hampir setiap hujung minggu di Lebuh SPA. Sementara dirinya pula akan melepak dengan rakan kedai makan atau keluar ke kawasan lain untuk beraktiviti lain.
Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini menjadi yang pertama buatnya. Muda remaja dia masih belum benar celik tentang senario politik negara masa kini, jauh sekali memiliki kecederungan berat ke mana-mana parti. Apa pun, dia melihat seorang pemimpin yang dipilih itu perlu ada kredibel untuk mempertimbang setiap aspek yang wujud dalam komuniti DUN dipimpinnya.
Fahmi berharap siapa pun yang akan memimpin nanti mesti buat kerja, pada masa sama mahu pemimpinnya memberi sedikit penekanan terhadap aktiviti yang dapat melestarikan dan mempererat kemasyarakatan setempat.
“Gerak kerja betul, pemimpin yang betul, semuanya akan jadi betul. Tak kisahlah siapa pun.
“Tapi saya sebagai anak muda saya suka mendengar idea-idea baharu, sesuatu yang menepati apa yang generasi kami mahu.”
Pengundi muda berusia lingkungan 20 hingga 29 tahun mewakili 29.8 peratus daripada keseluruhan komposisi pengundi berdaftar di negeri Melaka seramai 495,645. Daripada peratusan itu, lebih 70 peratus pengundi muda Bumiputera, hampir 22 peratus pengundi muda Cina dan 5.7 peratus pengundi muda India.
Dalam kemudahan yang dinikmati penduduk dek kepesatan Paya Rumput, pemimpin yang bakal mendapat mandat penduduknya nanti untuk mewakili suara mereka ke kerajaan negeri harus memberi tumpuan terhadap hal kemasyarakatan, sosial dan tidak melupakan kebajikan mereka yang berada di kawasan kampung.
Antara Datuk Dr Abu Bakar Md Diah, calon BN yang dahulunya menyandang kerusi Parlimen Tangga Batu untuk meneruskan legasi pimpinan BN di DUN itu daripada Datuk Sazali Md Din, atau sahabatnya, Mohd Rafiq Naizamohideen, bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia atau Haji Rafie Ahmad, seorang jurutera yang membawa panji Pas untuk menawan hati pengundi Paya Rumput.
*Israr Khalid adalah wartawan Astro AWANI.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Israr Khalid
Wed May 02 2018
Perebutan kerusi N.13 Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang bakal ditentukan 9 Mei ini dilihat sengit.- Foto Astro AWANI/Israr Khalid
Indonesia laksanakan operasi pengubahan cuaca untuk kurangkan hujan lebat di Jawa Barat
Indonesia telah melancarkan operasi pembenihan awan untuk mengurangkan kesan hujan lebat dan risiko banjir di Sukabumi dan Cianjur.
Bantuan YKM akan disalur secara bulanan mulai tahun depan - Ismail Sabri
Bantuan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan disalurkan secara bulanan mulai tahun depan berbanding empat kali bayaran setahun sebelum ini.
Inisiatif penghantaran hijau tingkat potensi logistik di Lembah Klang - Loke
KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) – Sebagai langkah memperkukuh perkhidmatan logistik dan menyokong peralihan hijau, satu projek rintis menggunakan perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) unt
Mangsa gangguan seksual perlu berani tampil buat laporan - Nancy Shukri
Mangsa gangguan seksual perlu berani tampil ke hadapan untuk melaporkan kejadian yang dialami atau mendapatkan khidmat kaunseling yang disediakan oleh KPWKM.
Mohamad Hasan bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi
Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.
MSNR pastikan getah Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa
Industri getah negara merekodkan pencapaian membanggakan menerusi pelaksanaan inisiatif MSNR yang bertujuan memastikan komoditi berkenaan kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.
Isu bayi 'disimpan' : Peguam minta tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman
Bapa kepada bayi lelaki yang mayatnya 'disimpan' di sebuah hospital swasta memberi masa sehingga 12 tengah malam Khamis kepada netizen yang memfitnah di media sosial supaya menarik balik kenyataan.
37 rakyat Palestin maut akibat bedilan udara Israel
Sekurang-kurangnya 37 warga Palestin terbunuh dalam siri serangan udara tentera Israel pada pagi Khamis, yang menyasarkan pengiring trak bantuan serta rumah-rumah yang menempatkan pelarian di seluruh Semenanjung Gaza. Menurut sumber perubatan, serangan udara di kawasan barat Rafah dan Khan Younis di selatan Gaza meragut nyawa 15 rakyat Palestin, manakala 30 lagi dilaporkan cedera.
Seorang maut selepas pangsapuri mewah di Shenzhen terbakar
Kebakaran melibatkan sebuah pangsapuri mewah di tengah Shenzhen, Selatan China mengorbankan seorang individu. Asap tebal dilihat menyelubungi udara dan mencetuskan kegusaran orang ramai yang melihat kejadian itu berlaku.
Tentera Israel berundur dari Khiam, Marjayoun
Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Rabu mengesahkan tentera Israel berundur dari bandar di selatan Lubnan, sekali gus menjadi pengunduran pertama tentera rejim di bawah perjanjian genjatan senjata antara kedua negara.
#SainganSengit: 'Open game' di Paya Rumput
Mukim yang dahulunya ladang getah kini menjadi bandar baharu, isu nasional lebih banyak bermain di bibir pengundi DUN yang cuba direbut dari tiga penjuru.