Kewujudan pokok cucur atap tidak begitu disedari sebelum ini dan hanya tumbuh meliar di tanah berpasir sekitar kawasan pantai Terengganu, namun hasil kajian penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke atas tumbuhan itu berjaya menemui agen antipenuaan untuk penjagaan kecantikan.

Ketua Penyelidik Institut Bioteknologi Marin UMT, Prof Madya Dr Mohd Zul Helmi Rozaini berkata hasil penyelidikannya selama tiga tahun itu akhirnya dapat menghasilkan serum kecantikan yang setaraf jenama produk antarabangsa.

"Melalui ekstrak cucur atap, saya telah menghasilkan serum jenama Krasna iaitu inovasi produk penjagaan kulit kosmeseutikal perubatan hibrid yang menggabungkan kesan penyerapan sepantas lima kali ganda daripada produk konvensional untuk memastikan keanjalan kulit kekal halus dan tegang sepantas 24 jam.

"Ia juga bersifat antiseptik iaitu berupaya melindungi kulit daripada bakteria berbahaya yang boleh berjangkit.

"Kelebihan serum Krasna ini ialah sebagai agen pembawa nanoemulsi yang membawa bahan-bahan aktif menembusi epidermis kulit yang sangat bagus untuk melawan kesan penuaan," katanya kepada Bernama.

Beliau mula menjalankan penyelidikan berkaitan cucur atap itu setelah dianugerahkan Skim Penyelidikan Fundamental (FRGS) UMT daripada Kementerian Pendidikan dalam bidang Sains Gunaan pada tahun 2011 dan memfailkan paten teknologi nanovesikel kepada MyIPMO untuk dinilai melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMT.

Kebiasaannya, hasil penyelidikan saintis agak sukar untuk dikomersialkan kerana tidak mendapat kerjasama daripada mana-mana syarikat untuk memasarkannya, namun serum ciptaan beliau telah menarik perhatian sebuah syarikat dari Kedah yang mula memasarkan serum itu baru-baru ini.

"Serum Krasna adalah inisiatif yang sangat sinergistik antara pihak UMT dan syarikat kosmetik, Sysfel (Raffelina Sdn Bhd) serta ATECS Plt dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) melalui inisiatif Symbiosis 2.0.

"Kami menyediakan teknologi dan pihak Sysfel pula memasarkan produk tersebut selepas dikomersialkan oleh pihak ATECS Plt dan MTDC. Selain daripada pihak Sysfel, kami juga telah bekerjasama dengan pihak Jamu Mak Dara dan ZN Beauty dalam memperkenalkan inovasi ini dengan lebih meluas," katanya.

Beliau juga yakin penemuan baharu khasiat pokok cucur atap yang mempunyai komponen kimia hampir sama dengan pokok tea tree itu akan memberi impak ekonomi kepada masyarakat melalui penjualan serum itu secara komersil.

-- BERNAMA