KUALA LUMPUR: Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada 8 September 2018 merupakan kenyataan balas terhadap Pejabat Peguam Negara (AGC), mengenai bayaran RM9.5 juta yang didakwa sebagai fi guaman daripada Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun berkenaan, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Saksi ketiga pendakwaan, Ida Lim Lee Ting berkata, kenyataan oleh Muhammad Shafee merujuk kepada dakwaan bahawa bayaran itu adalah ketika beliau menjadi pendakwa raya ad-hoc untuk rayuan kes liwat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lim yang merupakan wartawan kanan Malay Mail Sdn Bhd berkata, beliau telah menerima kenyataan itu dalam bentuk PDF melalui aplikasi WhatsApp oleh anak Muhammad Shafee, iaitu Muhammad Farhan pada tarikh tersebut.

Berdasarkan pemahaman beliau, Lee Ting berkata, kenyataan itu adalah merujuk kepada AGC dua hari sebelum itu (6 September), bahawa sebanyak RM9.5 juta telah dibayar oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Muhammad Shafee dilantik secara fiat (kebenaran rasmi) bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam ‘Kes Liwat II’ tersebut.

“Sebanyak empat laporan berita yang ditulis saya (berdasarkan kenyataan media itu) telah diterbit dalam portal Malay Mail.

“Selepas penerbitan keempat-empat berita ini, tiada siapa yang menghubungi saya untuk meminta pembetulan dibuat ke atas berita tersebut,” katanya ketika diminta Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy untuk membaca keterangan bersumpahnya di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Lee Ting berkata, laporan yang ditulisnya antara lain memetik Muhammad Shafee sebagai berkata, bayaran RM9.5 juta itu bukan bayaran untuk kes pendakwaan Anwar, tetapi ia adalah fi guaman berkaitan 46 petisyen pilihan raya melibatkan Barisan Nasional dan UMNO antara tahun 2004 dan 2006.

BACA: Kes Shafee Abdullah: Pendakwa raya mahu buktikan tertuduh terima RM9.5 juta sebagai yuran guaman

Ketika disoal oleh ketua peguam bela, Harvinderjit Singh sama ada empat artikel itu ada menyentuh mengenai dakwaan Muhammad Shafee tidak membayar cukai, Lee Ting berkata tiada.

Dalam ucapan pembukaan kes pada 21 Mei lepas, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh dalam kapasitinya sebagai seorang Peguambela dan Peguamcara telah menerima sejumlah wang sebanyak RM9.5 juta sebagai fi guaman.

Selain itu, tambahnya lagi, pendakwaan akan membuktikan Muhammad Shafee telah dengan sengaja menyembunyikan fakta tersebut daripada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Afzainizam berkata, peguam veteran itu juga didapati memberitahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa wang itu itu juga merupakan berbentuk pinjaman, sementara menunggu dokumen rasionalisasi fi guaman disiapkan seperti yang dipersetujui dengan Najib.

Muhammad Shafee, 69, berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterimanya daripada Najib dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN).

Bagi dua pertuduhan pertama, ia dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001, manakala dua pertuduhan seterusnya dilakukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967

Perbicaraan bersambung 4 Jun depan.