awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Lenyapnya Bazar Lama Kampar, hilang satu lagi bangunan warisan di Perak
[KOLUMNIS] Bersama pastikan hidupan liar tidak terus mati dilanggar
Pelantikan MB baharu Perlis uji keupayaan PN pulihkan keyakinan rakyat - Penganalisis
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

[KOLUMNIS] Bersama pastikan hidupan liar tidak terus mati dilanggar

Kolumnis AWANI
Kolumnis AWANI
28/12/2025
23:30 MYT
[KOLUMNIS] Bersama pastikan hidupan liar tidak terus mati dilanggar
Sehingga pertengahan 2025, Tapir Malaya dikenal pasti sebagai mamalia besar yang paling tinggi direkodkan terlibat dalam kemalangan jalan raya. - Gambar fail/BERNAMA
ISU hidupan liar dilanggar kenderaan atau lebih dikenali sebagai roadkill merujuk kepada kejadian kematian haiwan liar akibat pelanggaran dengan kenderaan di jalan raya dan lebuh raya. Fenomena ini semakin mendapat perhatian kerana tidak lagi berlaku secara terpencil, malah telah berkembang menjadi satu isu global yang serius.

Ringkasan AI
  • Isu roadkill di Malaysia semakin serius disebabkan oleh pembangunan pesat dan peluasan kawasan perbandaran yang merampas habitat hidupan liar, dengan lebih 2,300 kes dilaporkan dari tahun 2020 hingga 2024 menunjukkan peningkatan yang memerlukan tindakan serius daripada pelbagai pihak.
  • Fenomena roadkill bukan hanya berlaku di kawasan luar bandar, tetapi juga semakin ketara di kawasan bandar seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, dan Ipoh, di mana haiwan seperti kucing liar, anjing terbiar, tupai, ular, dan burung menjadi mangsa trafik yang padat.
  • Tapir Malaya merupakan spesies terancam yang paling kerap terlibat dalam kemalangan jalan raya di Malaysia, dengan kes terkini melibatkan seekor tapir jantan mati akibat dilanggar kenderaan di Jalan Kuantan-Kemaman, Pahang, pada 13 Julai 2025, menggarisbawahi keperluan langkah pencegahan yang lebih berkesan untuk melindungi hidupan liar.

Di Malaysia, kes roadkill bukan sahaja berlaku di kawasan pinggir hutan atau lebuh raya utama, malah semakin ketara di kawasan bandar berikutan pembangunan pesat dan peluasan kawasan perbandaran yang menghampiri serta mencerobohi habitat semula jadi hidupan liar.
Berdasarkan data rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES), lebih 2,300 kes hidupan liar dilanggar kenderaan telah direkodkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun, iaitu dari tahun 2020 hingga 2024. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa kematian hidupan liar di jalan raya bukan sekadar kejadian rawak, sebaliknya mencerminkan satu pola peningkatan yang memerlukan perhatian serius serta tindakan bersepadu daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Di Malaysia, indeks kemalangan maut tidak hanya melibatkan kehilangan nyawa manusia, malah turut meragut nyawa haiwan liar di jalan persekutuan, jalan negeri, lebuh raya serta di kawasan bandar dan pinggir bandar. Di persekitaran bandar, situasi ini menjadi semakin membimbangkan apabila haiwan liar dan separa liar terpaksa menyesuaikan diri dengan landskap yang didominasi oleh aktiviti manusia.
Sebagai contoh, bandar-bandar utama seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Ipoh dilaporkan mengalami peningkatan kes haiwan seperti kucing liar, anjing terbiar, tupai, ular dan burung yang mati akibat dilanggar kenderaan ketika melintas jalan raya yang padat dengan trafik. Keadaan ini berpunca daripada pembangunan bandar yang semakin menghampiri kawasan hijau, sungai dan hutan sekunder, sekali gus menghadkan ruang pergerakan haiwan dan meningkatkan risiko pertembungan dengan kenderaan,.
Selain itu, kewujudan elemen hijau dalam bandar seperti taman rekreasi, longkang besar, sungai serta tanah terbiar berhampiran kawasan perumahan turut menarik kehadiran haiwan liar seperti musang pandan, monyet, biawak dan ular. Haiwan-haiwan ini sering melintasi jalan raya untuk mencari makanan atau habitat baharu, terutamanya pada waktu malam, sekali gus terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya. Fenomena ini membuktikan bahawa isu roadkill bukan hanya terhad kepada kawasan luar bandar, malah telah menjadi cabaran serius dalam ekosistem bandar moden.
Bagi kawasan luar bandar, antara laluan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi terhadap kejadian roadkill ialah Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan. Laluan ini merentasi kawasan hutan simpan dan merupakan laluan penting pergerakan hidupan liar. Selain itu, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) serta beberapa jalan persekutuan dan negeri yang berdekatan kawasan hutan turut merekodkan kes roadkill yang tinggi. Namun demikian, keadaan di kawasan bandar juga tidak kurang membimbangkan apabila haiwan bersaiz kecil dan sederhana cuba melintas jalan untuk mencari makanan, perlindungan atau pasangan. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa pembinaan jalan raya tanpa perancangan mesra alam ibarat “menang sorak kampung tergadai”.
Antara haiwan yang kerap menjadi mangsa kemalangan jalan raya di Malaysia termasuk Tapir Malaya, kancil, kucing hutan, babi hutan, monyet, biawak, ayam hutan serta anjing. Di kawasan bandar pula, spesies yang lebih kecil seperti tupai, burung, ular, kucing liar dan anjing terbiar lebih kerap terlibat dalam kejadian roadkill.
Berdasarkan rekod sehingga pertengahan tahun 2025, Tapir Malaya dikenal pasti sebagai mamalia besar yang paling tinggi direkodkan terlibat dalam kemalangan jalan raya. Situasi ini amat membimbangkan memandangkan Tapir Malaya merupakan spesies terancam yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem hutan.
Salah satu kes terkini yang mendapat perhatian masyarakat berlaku pada 13 Julai 2025 apabila seekor tapir jantan yang sering kelihatan di kawasan MARDI Cherating Agrotech Park dilaporkan mati selepas dilanggar kenderaan di Kilometer 35, Jalan Kuantan–Kemaman, Pahang.
Kematian tapir tersebut mengejutkan komuniti setempat kerana haiwan berkenaan dikenali sebagai jinak dan sering menjadi tarikan kepada pengunjung. Kes ini yang dilaporkan oleh media tempatan menambah lagi senarai kes roadkill melibatkan spesies terancam di Malaysia dan membuktikan bahawa tanpa langkah pencegahan yang berkesan, kematian hidupan liar akan terus berlaku “bagai tiada kesudahan”.
Secara umumnya, kejadian hidupan liar dilanggar kenderaan berlaku apabila haiwan cuba melintas jalan raya yang dibina merentasi kawasan hutan atau bergerak dalam kawasan bandar bagi mencari makanan dan habitat baharu. Pergerakan ini merupakan tingkah laku semula jadi haiwan, namun pembangunan pesat serta jaringan jalan raya yang semakin kompleks telah menghalang laluan pergerakan asal mereka.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes roadkill ialah pemecahan dan kehilangan habitat akibat pembinaan jalan raya serta pembangunan bandar. Di kawasan bandar, penebangan kawasan hijau dan pembangunan perumahan serta pusat komersial memaksa haiwan melintasi laluan trafik yang sibuk. Kekurangan kemudahan lintasan selamat seperti jejambat hidupan liar, terowong bawah jalan dan laluan khas turut meningkatkan risiko kemalangan. Di samping itu, tahap kesedaran pemandu yang rendah, khususnya kegagalan mematuhi zon amaran hidupan liar dan had laju, turut menyumbang kepada masalah ini,.
Selain itu, pembangunan yang tidak disertai langkah mitigasi alam sekitar seperti pemasangan papan tanda amaran yang mencukupi, pencahayaan jalan yang sesuai serta pelaksanaan kajian impak alam sekitar yang menyeluruh turut memburukkan keadaan. Aktiviti pembalakan dan penukaran tanah hutan kepada ladang komersial juga menyebabkan hidupan liar berpindah kawasan dan seterusnya meningkatkan risiko pertembungan dengan kenderaan.
Sehubungan dengan itu, beberapa langkah strategik perlu diambil bagi menangani isu roadkill. Antaranya termasuk tindakan oleh Kementerian Kerja Raya yang mengarahkan semakan semula serta pemantauan rapi di lokasi berisiko tinggi susulan insiden anak gajah maut di Jalan Raya Timur-Barat pada Mei 2025.
Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti pencinta alam turut mencadangkan pembinaan lintasan khas haiwan seperti jejambat hidupan liar (animal viaducts) dan terowong bawah tanah di lebuh raya serta jalan utama. Usaha lain seperti kempen kesedaran kepada pemandu, pelaksanaan zon had laju rendah di kawasan berisiko dan perancangan bandar yang lebih mesra hidupan liar juga wajar diperkasakan,.
Isu hidupan liar dilanggar kenderaan bukan sekadar tragedi yang menyentuh emosi, malah membawa implikasi besar terhadap biodiversiti, keseimbangan ekosistem dan kelestarian alam sekitar negara. Kematian haiwan liar terancam seperti tapir dan gajah, serta haiwan kecil di kawasan bandar, mencerminkan ketidakseimbangan antara pembangunan dan usaha pemuliharaan alam.
Oleh itu, pendekatan bersepadu dan tindakan konkrit perlu dilaksanakan agar pembangunan negara dapat diteruskan secara lestari tanpa mengorbankan khazanah hidupan liar yang tidak ternilai.

* Oleh Divyashini P Gunalan, pelajar Program Ekologi Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya; dan Profesor Madya Dr Hasmahzaiti Omar, Pensyarah di Program Ekologi Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Topic Berkaitan
#hidupan liar
#kemalangan jalan raya
#habitat
#spesies terancam
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan