ALOR SETAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini ditidurkan dan berada dalam keadaan stabil.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keadaan Salahuddin stabil selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak dan berada dalam pemantauan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB.

Menurutnya, pasukan perubatan yang diketuai dua doktor pakar mengawasi perkembangan Ahli Parlimen Pulai itu sambil turut ditemani isterinya, Datin Seri Fatimah Taha.

"Beliau berada dalam stabil selepas pembedahan yang dianggap berjaya pada awal pagi tadi. Salahuddin diletakkan di bawah pengawasan pascapembedahan dan di bawah pengawasan rapi.

"Beliau ditempatkan dii ICU kerana beliau akan diawasi secara cermat oleh dua doktor pakar.

"Pagi tadi, kami (menteri) diberikan perkembangan oleh Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa) dalam grup WhatsApp mengenai keadaan Salahuddin.

"Kebetulan ada di Kedah, saya ambil peluang melawat," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di lobi HSB dan hadir sama, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar serta Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.

Saifuddin berkata, perkembangan keadaan Salahuddin sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau telah menyampaikan ucapan salam kepada keluarga Salahuddin.

"Apa yang boleh buat sekarang adalah memperbanyakkan doa, mudah-mudahan Salahuddin kembali sihat.

"Saya fikir keluarganya perlu diberikan peluang dan ruang untuk menghadapi keadaan ini.

"Kita akan terus mendapatkan perkembangan rawatan Salahuddin daripada pasukan doktor yang merawatnya," katanya.

Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembedahan ke atas Salahuddin yang mengalami pendarahan otak, telah selesai pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Salahuddin sedang menerima rawatan susulan di unit rawatan rapi (ICU) dan dalam pengawasan pasukan perubatan HSB.

Terdahulu, Syakirin memaklumkan menteri berkenaan dikejarkan ke wad kecemasan kira-kira 10.15 malam tadi dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar. -Sinar Harian