Salahuddin gesa Azam Baki dihadap ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

Irwan Muhammad Zain
Mac 22, 2022 10:22 MYT
Salahuddin turut mengesyorkan agar diwujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Integriti di Dewan Rakyat seperti yang telah diwujudkan di Dewan Negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dihadapkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dengan segera.
Salahuddin menjelaskan ia bertujuan untuk Azam disoal siasat berkaitan isu pemilikan saham dalam jumlah yang mencurigakan.
"Saya juga mencadangkan agar Impeachment System (sistem pendakwaan) di Dewan Kongres seperti di Amerika Syarikat diwujudkan di Parlimen Malaysia
"Ia bertujuan agar menteri-menteri atau kakitangan awam dapat dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan Jawatankuasa Khas Parlimen sekiranya terdapat salah laku dan penyalagunaan kuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: Tubuh jawatankuasa khas siasat isu Azam Baki - Pengerusi PAC
BACA: Isu pemilikan saham: Polis masih siasat Azam Baki - Hamzah
Selain itu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) mengesyorkan agar diwujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Integriti di Dewan Rakyat seperti yang telah diwujudkan di Dewan Negara.
Januari lepas, PSC memutuskan satu mesyuarat memanggil Azam untuk menjelaskan isu berhubung pemilikan saham beliau.
Bagaimanapun, prosiding yang dirancang pada 19 Januari itu ditangguhkan dan Pengerusi PSC Abdul Latiff Abdul Rahman berkata pihaknya akan merujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen berikutan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang terlebih dahulu sebelum ia diteruskan.
#Salahuddin Ayub #Azam Baki #Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen #pemilikan saham