GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang digesa mendedahkan 71 syarat yang dikenakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Selain itu, JAS pusat juga diminta untuk menjelaskan alasan dan sebab mengapa Laporan EIA projek tambakan laut tersebut telah diluluskan.

Setiausaha Sahabat Alam Malaysia (SAM), S Mageswari berkata, kelulusan laporan tersebut amat mengejutkan kerana projek tambakan laut itu mendapat tentangan hebat daripada banyak pihak terutamanya nelayan yang terkesan.

"SAM amat terkejut dan tidak berpuas hati selepas mendapat tahu tentang Laporan EIA untuk PSI yang telah diluluskan JAS. Oleh demikian, kami menggesa agar Ketua Pengarah JAS mendedahkan atas alasan apa ia diluluskan.

"Selain itu, kami juga menuntut agar kerajaan negeri mendedahkan kesemua 71 syarat yang dikenakan JAS dalam kelulusan Laporan EIA tersebut. Rakyat perlu tahu syarat-syarat tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa Laporan EIA bagi PSI telah diluluskan oleh JAS yang mana, perkara itu dimaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar menerusi sepucuk surat bertarikh 11 April lalu.

Kon Yeow berkata, kelulusan itu adalah berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Dalam pada itu, Mageswari berkata, pihaknya kecewa apabila kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dilihat telah memburukkan lagi ketidakadilan alam sekitar serta sosial dengan meneruskan projek penambakan berkenaan.

"Kami kecewa kerana kerajaan baharu seolah-olah mengabaikan keselamatan makanan, integriti alam sekitar dan skala sebenar kesan negatif serta jngka panjang yang disebabkan oleh aktiviti penambakan.

"Projek penambakan 'berintensif karbon' dan 'intensif modal' ini bertentangan dengan keperluan perancangan hari ini yang memerlukan pembangunan berdaya tahan iklim," katanya.

Menurut beliau lagi, pihaknya juga tidak menyangka Laporan EIA bagi projek mega itu diluluskan selepas banyak pihak telah menyatakan kebimbangan mereka.

"Banyak pihak telah menyatakan kebimbangan dan bantahan mereka terhadap projek ini. Ia termasuk Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PenMutiara), Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang (PNKSPP) serta semua unit nelayan kampung di sekitarnya.

"SAM adalah ahli Jawatankuasa Semakan Teknikal EIA (EIATRC) dan kami juga telah mengemukakan bantahan kami, sebagai sokongan kepada komuniti nelayan serta kebimbangan terhadap alam sekitar. Pihak lain yang turut membantah dan berada di dalam EIATRC termasuk Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Institut Penyelidikan Perikanan," katanya.

Mageswari berkata, kesemua yang membantah telah menyuarakan kebimbangan mereka iaitu kerja penambakan itu akan menjejaskan sektor perikanan, mata pencarian nelayan dan keselamatan makanan kerana tapak penambakan mempunyai biodiversiti marin yang tinggi.

"Satu aspek penting yang dikecualikan semasa menilai skala impak projek ialah kesan sumber pasir dan bahan isian lain seperti batu. Projek yang dicadangkan terdiri daripada tiga pulau tebus guna dengan keluasan keseluruhan 1,821 hektar yang memerlukan bahan isian dianggarkan 207 juta meter padu.

"Jumlah isipadu batuan yang diperlukan untuk pembinaan 'revetment' sebagai perlindungan tepi pulau tebus guna ialah 4.5 juta meter padu. Gesaan kami bahawa kesan alam sekitar dalam perolehan pasir dan batu untuk projek ini mesti diambil kira sebagai kesan kumulatif aktiviti berkaitan PSR juga tidak dipertimbangkan.

"Sehubungan itu, SAM akan terus dengan pendirian kami iaitu membantah projek tambakan ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PenMutiara, Zakaria Ismail berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan JAS berhubung projek PSI itu.

"Kami akan membuat persediaan bagi mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan JAS, masih ada ruang untuk kami kemukakan rayuan berkenaan.

"Buat masa ini, kelulusan pelan pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek PSI ini masih belum diperoleh malah 71 syarat yang dikenakan bagi kelulusan EIA ini juga bukan mudah untuk dipenuhi," katanya. - Sinar Harian