KUALA LUMPUR: Saman secara pos atau 'saman ekor' akan dihantar ke rumah kepada mana-mana pengguna jalan raya di seluruh negara yang memandu melebihi had laju.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, penguatkuasaan terhadap kesalahan memandu laju bagi pengeluaran notis K170A telah dikuat kuasa bermula Isnin.

Menurutnya, penguatkuasaan ke atas kesalahan memandu melebihi had laju ini akan dijalankan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah.

"Sebanyak 8,718 saman K170A telah dikeluarkan pada semalam (Isnin).

"Pecahan saman mengikut kenderaan adalah 8,352 kereta, motosikal (44) manakala kenderaan perdagangan dan perkhidmatan sebanyak 322," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, penguatkuasaan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju akan dijalankan secara berterusan bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang ditetapkan di dalam negara.

Ujarnya, memandu melebihi kelajuan ditetapkan adalah salah satu punca utama kemalangan jalan raya di negara ini di mana pemandu gagal mengawal kenderaan hingga berlaku hilang kawalan.

"Notis pemberitahuan saman K170A bagi kesalahan memandu melebihi had laju akan disampaikan kepada pemilik kenderaan mengikut alamat lesen memandu secara pos surat berdaftar," ujarnya.

Tambahnya, JSPT akan menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju yang ditetapkan.

“Saman kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan kepada mereka yang dikesan," katanya.

Katanya lagi, adalah menjadi tanggungjawab pemilik kenderaan memberi butiran pemandu kenderaan yang telah melakukan kesalahan tersebut dalam tempoh tujuh hari dari penerimaan notis pemberitahuan kesalahan.

"Semua kesalahan memandu melebihi had laju boleh dikompaun dan dijelaskan di mana mana bahagian trafik daerah di seluruh negara," jelasnya. - Sinar Harian