ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar untuk membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 bagi saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada Rabu.

Hakim, Dr Arik Sanusi Yeop Johari telah membenarkan tuntutan yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu terhadap Mahfuz, berhubung kenyataan membabitkan pembelian kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada tahun 2020.

Mahkamah memutuskan sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi am, RM50,000 sebagai ganti rugi teladan, selain Mahfuz turut diperintah membayar kos RM30,000.

Selain itu, Arik Sanusi turut memerintahkan Naib Presiden Amanah itu membuat permohonan maaf secara terbuka dalam satu akhbar Bahasa Melayu dan satu akhbar Bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari selain menerusi akaun Facebook milik beliau, mengikut syarat yang diluluskan Menteri Besar Kedah.

Permohonan daripada Sanusi untuk mendapatkan injunksi kekal terhadap Mahfuz, ejen dan penyokongnya daripada mengulangi kenyataan fitnah berkenaan turut dibenarkan mahkamah.

Dalam penghakimannya, Arik Sanusi menyifatkan dakwaan yang dibuat Mahfuz terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu membabitkan pembelian Toyota Vellfire adalah satu fitnah dan berniat jahat.

Tambahnya, pihak plaintif juga berjaya membuktikan kepada mahkamah bahawa SADA telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu sebelum Mahfuz mengeluarkan kenyataannya terhadap Sanusi.

Pihak plaintif diwakili peguam Yusfarizal Yussoff, ⁠Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Faizi Che Abu dan ⁠Adam Luqman Hamdan manakala Pengerusi PH Kedah itu diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil dan Faizal Abdullah.

Faiz telah memohon kepada mahkamah untuk penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan pasukan pembelaan mengemukakan permohonan bertulis bagi memutuskan penangguhan permohonan sementara menunggu proses rayuan.

Pada Oktober 2020, Muhammad Sanusi memfailkan saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mengaitkan beliau dengan pembelian MPV Toyota Vellfire oleh SADA.

Beliau menyatakan bahawa tidak tahu menahu berkaitan pembelian kenderaan terbabit kerana ia diuruskan oleh SADA melalui jawatankuasa perolehan aset yang mempunyai peruntukan tertentu untuk dibelanjakan.