MALAYSIA
Saman fitnah: Permohonan Dr Dzulkefly untuk gugurkan pesuruhjaya kehakiman ditolak

Pada Januari 2022, Dzulkefly yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Najib telah memuat naik hantaran berbaur fitnah di Facebook pada 24 Ogos 2020 berhubung isu kronisme. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk menggugurkan Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi daripada mendengar saman fitnah yang difailkan Menteri Kesihatan itu terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung hantaran di Facebook mengenai isu kronisme.
Arziah berkata mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan kewujudan bahaya berat sebelah susulan arahan beliau pada prosiding pengurusan kes itu dan fakta bahawa beliau adalah anak bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
"Hubungan itu adalah antara bapa saya dan defendan (Najib), bukan antara saya dan mana-mana pihak di sini. Tiada bukti wujudnya hubungan yang berterusan antara bapa saya dan defendan selain kehadiran beliau sebagai saksi pada 2019.
"Bapa saya tidak lagi memegang jawatan di Jabatan Peguam Negara sejak 2018 iaitu tujuh tahun lepas. Justeru itu, sebarang hubungan dengan kes ini adalah lemah dan bersifat sejarah," katanya.Pada 14 April lepas, Dr Dzulkefly telah memfailkan permohonan agar Arziah menarik diri daripada mendengar kes itu atas alasan kenyataan yang dikeluarkan beliau semasa pengurusan kes pada 7 Mac dan 7 April lepas mengenai pembatalan tindakan berkenaan menunjukkan sikap atau mewujudkan persepsi berat sebelah.
Plaintif juga mendakwa Arziah adalah anak Mohamed Apandi yang dilantik oleh defendan sebagai Peguam Negara pada 2016 dan ini akan mewujudkan kebimbangan munasabah terhadap bahaya berat sebelah.
Pada prosiding hari ini, peguam Stanley Sabastien Sinnappen mewakili Dzulkefly manakala peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee hadir bagi pihak Najib.
Pada Januari 2022, Dzulkefly yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Najib telah memuat naik hantaran berbaur fitnah di Facebook pada 24 Ogos 2020 berhubung isu kronisme bersama-sama lampiran tangkap layar artikel Sinar Harian bertarikh 28 Jan 2019 dengan gambar plaintif.
Beliau mendakwa kenyataan itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif mengamalkan kronisme dengan menawarkan jawatan atau pelantikan kepada ahli keluarga tanpa melalui penilaian yang objektif dan keupayaan bagi jawatan tertentu dalam kerajaan atau syarikat swasta.
Plaintif mendakwa Najib selaku defendan telah menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat menyerang peribadi beliau, merendah serta memalukannya selain bermotifkan politik bagi memfitnah dan merosakkan reputasinya.
Najib dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 29 Mac 2022 pula mendakwa hantaran mengenai isu kronisme itu tidak ada kena-mengena dengan Dzulkefly sebaliknya merujuk kepada gabungan parti dalam Pakatan Harapan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami