KUALA LUMPUR: Ryt Bank merekodkan lebih 1.2 juta pengguna dalam tempoh sekitar tujuh bulan sejak pelancarannya pada Ogos 2025, sekali gus meletakkan ia antara bank digital paling pantas berkembang di Malaysia.
Menurut Ryt Bank dalam kenyataan hari ini, pencapaian itu mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap perbankan digital, dengan lebih ramai pengguna memilih platform tersebut sebagai cara yang lebih mudah dan fleksibel untuk mengurus kewangan harian.
Advertisement
"Sejak dilancarkan, jumlah transaksi di Ryt Bank telah meningkat lebih daripada 35 kali ganda, dengan puluhan ribu pengguna melakukan transaksi setiap hari melibatkan pembayaran, pemindahan wang serta perbelanjaan harian.
"Pembayaran bil turut mencatat peningkatan lebih daripada sepuluh kali ganda dalam beberapa bulan kebelakangan ini, manakala penggunaan kad terus berkembang apabila pelanggan menggunakannya untuk membeli-belah, makan di luar dan memenuhi keperluan harian," katanya.
Jelas Ryt Bank, antara pemacu utama pertumbuhan itu ialah Ryt AI, yang dibangunkan bersama YTL AI Labs dan dikuasakan oleh Ilmu, model kecerdasan buatan tempatan.
Menurut Ryt Bank, sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada segmen yang tidak dan kurang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan, selaras dengan fokus bank untuk memperluas keterangkuman kewangan di negara ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif interim Ryt Bank, Wilson Soon dalam kenyataan sama berkata pencapaian tersebut merupakan satu detik penting bagi institusi itu.
"Pencapaian 1.2 juta pengguna dalam tempoh sekitar tujuh bulan menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia semakin terbuka kepada kaedah perbankan yang lebih mudah, intuitif dan berpaksikan keperluan harian," katanya.
Beliau berkata fokus bank bukan sekadar kepada jumlah pendaftaran, tetapi juga kepada tahap penggunaan aktif pelanggan dalam mengurus kewangan mereka.
Dalam pada itu, Wilson menambah Ryt Bank kini bersedia memperluas perkhidmatan melangkaui transaksi harian dengan memperkenalkan ciri baharu dalam masa terdekat.
Antaranya termasuk Ryt PayLater pada kad yang membolehkan pengguna memilih untuk membayar segera atau kemudian menggunakan satu kad yang sama, serta Ryt Invest yang memberi peluang kepada pengguna untuk mula melabur secara terus melalui aplikasi.