KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, memberi masa sehingga bulan depan untuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua pihak lain, memfailkan pembelaan berhubung kes saman ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad.

Ia membabitkan kes saman Halim yang juga bekas Pengerusi Eksekutif Renong Berhad, berhubung penjualan saham miliknya, yang dikatakan dibuat secara paksa sehingga menyebabkan beliau mengalami kerugian, 23 tahun lalu.

Selain Dr Mahathir yang disaman atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri ketika itu, Halim turut menamakan bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kapasitinya sebagai Penasihat Ekonomi Khas kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia selaku defendan.

Peguam Persekutuan, Imtiyaz Wizni Aufa Othman mengesahkan perkara itu, ketika dihubungi media, selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar,Nik Nur Amalina Mat Zaidan.

Menurutnya, defendan perlu memfailkan pembelaan sebelum atau pada 6 Oktober depan, sementara plaintif menjawab pembelaan berkenaan pada 23 Oktober ini.

Pihak-pihak juga diarah memfailkan permohonan interlokutori sebelum pengurusan kes berikutnya, 20 November.

Pada 22 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis kehadiran untuk mewakili ketiga-tiga defendan dalam kes saman itu.

Menerusi saman difailkannya, Halim berkata, tuntutannya ialah berdasarkan pelanggaran hak oleh kerajaan Malaysia ketika diarahkan Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus dalam Renong Berhad daripada United Engineers Malaysia Berhad (UEM).

Ia berdasarkan Opsyen Jual yang dilaksanakan ke atasnya oleh UEM pada Disember 2000.

Berdasarkan penyataan tuntutan saman, Halim berkata, ketika itu Renong memegang 37.92 peratus saham UEM dan beliau merupakan pemegang saham individu tunggal terbesar dan mengawal syarikat itu.

Halim berkata, timbul berniat untuk membuat tawaran am ke atas UEM, sama ada melalui atau bersama Renong, untuk menswastakan UEM sebagai anak Syarikat.

Katanya, ia akan membolehkan beliau memperoleh kawalan dan milikan penuh ke atas UEM melalui Renong.

Bagaimanapun plaintif berkata, Mahathir dan Nor Mohamed telah mengarahkannya supaya tidak meneruskan tawaran am kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.

Katanya, tindakan untuk mematuhi arahan itu dibuat kerana Mahathir ialah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan (ketika kejadian) dan kesudahannya Khazanah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd, dan dengan itu memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6 peratus saham Renong.

Halim dengan itu memohon perisytiharan, antaranya beliau ialah pemegang saham Renong dan bukannya UMNO, selain mendakwa kerajaan melanggar Perkara 8 (1) atau Perkara 13 (2) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberikan pampasan yang memadai kepadanya.

Beliau juga memohon perintah supaya kerajaan membayar pampasan kepadanya dan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan atau teruk, faedah, kos atau relif yang sesuai oleh mahkamah.