Saman yang difailkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan kerajaan, hari diselesaikan di luar mahkamah.

Abdul Khalid menyaman kedua-dua pihak itu kerana didakwa membayangkan bahawa beliau telah menyalahgunakan kedudukan atas kapasiti peribadinya dan penjawat awam.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng merekodkan penyelesaian itu di dalam kamar yang dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom, mewakili Abu Kassim dan kerajaan serta peguam Abdul Khalid, K. Muralidharan.

Zureen Elina memberitahu pemberita bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu dan SPRM telah menyiarkan penjelasan terhadap video temu bual yang didakwa itu dalam laman webnya.

"Oleh itu Abdul Khalid menghentikan samannya," kata Zureen Elina sambil berkata mahkamah tidak menetapkan sebarang kos perundangan.

Menurut laman web SPRM, penjelasan itu disiarkan pada 22 Ogos yang antara lain menyebut "Penerbitan rakaman video tersebut di dalam laman web rasmi SPRM adalah amat dikesali dan tidak bermaksud untuk menjatuhkan kredibiliti Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai pemimpin".

Plaintif (Abdul Khalid) dan Abu Kassim (defendan) tidak hadir di mahkamah. Kes itu masih belum masuk perbicaraan.

Pada 24 Dis 2013, Abdul Khalid memfailkan saman yang mendakwa defendan pada 4 April tahun lepas menemu bual seorang bernama Airos Shahidin Manaf dan memuat naik video temu bual itu dalam portal web rasmi SPRM dan YouTube.

Dalam kenyataan tuntutannya, Abdul Khalid menyatakan bahawa temu bual itu kemudian dimuat turun, disalin, dicetak dan disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan dan asing.

Abdul Khalid berpendapat bahawa perkataan yang digunakan dalam artikel itu membayangkan beliau bersalah mengamalkan rasuah, tidak boleh dipercayai dan tidak layak menjadi seorang ahli politik.

Beliau juga berkata defendan gagal mengesahkan kebenaran dakwaan-dakwaan itu dan menambah kata bahawa artikel itu menjatuhkan maruahnya sebagai anggota Parlimen Bandar Tun Razak dan anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang.

Beliau menuntut ganti rugi dan/atau ganti rugi am serta ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada Abu Kassim dan kerajaan.