Sambutan Hari Pahlawan 2018 yang meriah dan penuh istiadat bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada majlis tersebut di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, di sini hari ini.

Istiadat kemudian diteruskan dengan perarakan masuk dua panji iaitu Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) oleh kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota, diketuai Mejar Juniusabdiah Shahputra Janny.

Lagu 'Negaraku' dimainkan, diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja, diketuai Mejar Mohd Asri Che Wil.

Seri Paduka Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama.

Keseluruhan komposisi perbarisan terdiri daripada 46 pegawai dan 823 anggota lain-lain pangkat (LLP) gabungan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Veteran ATM serta Persatuan Veteran PDRM.

Turut hadir Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan pengurusan atasan pelbagai jabatan dan kementerian.

Istiadat kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Akhir yang dikenali sebagai 'last post' dengan menurunkan Jalur Gemilang.

Hadirin seterusnya disajikan persembahan deklamasi sajak 'Pahlawan' dan pantomim kisah perjuangan Kapten Mohana Chandran bertajuk 'Operasi Iblis 1971' oleh enam pegawai dan 98 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Operasi oleh Markas Briged Kedua Infatri Malaysia pada 1971 itu dilancarkan berikutan kehadiran pengganas di kawasan Hutan Korbu, Sungai Siput dan Tanah Hitam, Perak pada 31 Mei 1971.

Pada majlis hari ini, enam rakan seperjuangan mendiang Mohana yang terlibat dalam pertempuran itu diberi penghormatan menghadap Sultan Muhammad V.

Acara kemudian diteruskan dengan tiupan Paluan Fajar atau lebih dikenali Rouse, serentak Jalur Gemilang dikibarkan sebagai tanda memberi semarak kepada rakan-rakan tentera dan polis yang masih hidup untuk terus berjuang mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Seruan 'Daulat Tuanku' dilaungkan tiga kali sebagai simbolik bukti taat setia anggota pasukan keselamatan dan rakyat di bawah naungan baginda.

Sambutan Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai adalah antara usaha dan keperihatinan kerajaan dalam mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Sejak 1968, acara tahunan ini dianjurkan secara bergilir antara ATM dan PDRM dan kali ini ia dianjurkan ATM.

-- BERNAMA