Sambutan luar biasa terhadap kempen yang diadakan pembangkang tidak semestinya menterjemahkan sokongan kepada parti mereka, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata sebaliknya mereka yang hadir dalam kempen-kempen pembangkang datang dari seluruh pelusuk negara yang ingin mendengar propaganda daripada para pemimpin pembangkang.

"Yang datang bukannya orang tempatan di sini dan berdasarkan pengamatan dalam sambutan luar biasa itu didapati hanya sedikit sahaja pengundi di kawasan berkenaan, selebihnya adalah penyokong mereka dari seluruh negeri.

"Berbeza dengan kerajaan BN, kita bukan sahaja kemuka calon tempatan malah memberi perkhidmatan dan sentiasa berusaha untuk memenuhi keinginan dan kehendak rakyat," kata calon Ahli Parlimen Pasir Gudang ketika berucap melancarkan projek Dewan Masyarakat India Pasir Gudang di Bandar Seri Alam di sini, hari ini.

Menurut beliau, para pengundi pada akhirnya mampu untuk menilai sendiri parti yang boleh menjamin kesejahteraan mereka berbanding parti pembangkang yang hanya ingin mendapatkan kerusi dan meletakkan calon nomad dalam pilihan raya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya Datuk Tan Cher Puk.

Terdahulu, beliau berkata dewan yang memerlukan kos sebanyak RM5 juta itu akan dibangunkan selepas pilihan raya khusus untuk komuniti masyarakat India di bawah Parlimen Pasir Gudang.

Setakat ini, kerajaan negeri telah memberi dana sebanyak RM2 juta manakala RM1 juta dari Yayasan Pasir Gudang.

"Jika saya dipilih menjadi ahli Parlimen Pasir Gudang, kita akan usaha untuk mencari lebih banyak dana bagi pembinaan dewan ini," kata Mohamed Khaled.

Dewan berkenaan akan dijadikan sebagai sebagai pusat sehenti bagi komuniti masyarakat India di bawah Parlimen Pasir Gudang yang bakal menjadi tempat mengadakan aktiviti kemasyarakatan penduduk di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA