Sambutan Tahun Baharu berskala besar dilarang - Khairy

Umavathi Ramayah
Disember 16, 2021 05:02 MYT
Khairy memberitahu, sambutan Tahun Baharu dan Krismas secara kecil-kecilan dan persendirian dibenarkan dengan syarat pengunjung perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19. - Foto fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Penganjuran sambutan Tahun Baharu secara besar-besaran adalah tidak dibenarkan, kata Khairy Jamaluddin.
Namun demikian Menteri Kesihatan itu memberitahu, sambutan Tahun Baharu dan Krismas secara kecil-kecilan dan persendirian dibenarkan buat masa ini dengan syarat, pengunjung perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 sebelum menghadiri sambutan tersebut.
"Penganjuran sambutan Tahun Baharu secara besar-besaran adalah tidak dibenarkan. Tetapi buat masa ini sambutan Tahun Baharu dan Krismas bersama keluarga dan rakan-rakan adalah dibenarkan.
"Namun, mereka perlu membuat ujian pengesanan COVID-19 sebelum menghadiri sambutan terbabit," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengumumkan mengesan kes COVID-19 varian Omicron kedua di negara ini membabitkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang menetap di Lagos, Nigeria.
BACA: Varian Omicron: Kanak-kanak 8 tahun dikenal pasti kes pertama libatkan rakyat Malaysia
Beliau memberitahu, pesakit bersama ibu dan adik perempuannya tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Disember lalu sebelum disahkan positif COVID-19 dua hari selepas itu.
#tahun baharu 2022 #Krismas #Khairy Jamaluddin #sambutan