KUALA LUMPUR: Kes pertama varian yang dibimbangi (VOC) Omicron melibatkan rakyat tempatan dikesan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu, kes yang baharu dikesan ini merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun,yang menetap bersama keluarga di Lagos, Nigeria.

"Keputusan ujian RT-PCR COVID-19 ke atas kes sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif.  Kanak-kanak ini tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember 2021 dari Lagos, Nigeria dengan penerbangan transit di Doha, Qatar.

"Semua ujian yang dijalankan ke atas ibu dan adik perempuannya iaitu ujian sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, pada hari kelima dan pada hari kesebelas menunjukkan keputusan negatif. Namun demikian kes dan ahli keluarganya telah menjalani ujian RT-PCR COVID19 semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Keputusan ujian RT-PCR kes semasa ketibaan didapati positif COVID-19 pada 7 Disember 2021," katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, kanak-kanak itu tidak mempunyai gejala dan diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Menurutnya, KKM mengenal pasti kontak rapat kepada kes ini sebagai daripada ibu, adik perempuan, bapa, dan pemandu teksi yang membawa kes dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman.

Khairy memberitahu, bapa kanak-kanak itu tiba di Malaysia pada 12 Disember lalu dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta. Ujian RT-PCR bapa kes pada hari ketibaan adalah negatif.

Selain itu, katanya, KKM turut mengenal pasti 35 individu dalam penerbangan iaitu empat  di baris tempat duduk di hadapan, belakang, sebelah kiri, dan sebelah kanan sebagai kontak.

"Keputusan ujian RT-PCR COVID-19 semasa ketibaan dan pada hari ke-5 bagi kesemua kontak ini adalah negatif. Pemantauan kes dan kontak yang dikenal pasti dilaksanakan secara menyeluruh dari semasa ke semasa," jelasnya.

Menurutnya, KKM bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah meneruskan siasatan lanjut termasuk siasatan kontak semasa dalam penerbangan. Buat masa ini, beliau menjelaskan, punca jangkitan kes masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan bahawa hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan, sebanyak 18 kes lagi menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh.

"Keputusan dijangka akan diperolehi pada esok (Jumaat)," ujarnya.

BACA: COVID-19: Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia 

BACA: Kes pertama varian Omicron di Malaysia, 7 kontak rapat disah negatif COVID-19 

BACA: Varian Omicron: Kes pertama telah jalani pemeriksaan ikut SOP - Hamzah 

COVID-19 | KKM kesan kes kedua Omicron libatkan kanak-kanak