"Sampai bila negeri Johor dan anak-anak Johor dianaktirikan?"

Demikian luahan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada Isnin susulan kejadian kebakaran Wad Perubatan Perempuan 1 Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada Ahad.

Wad tersebut terbakar kira-kira pukul 3 petang namun tiada sebarang kecederaan dan kematian dalam kemalangan tersebut.

Katanya, sudah empat tahun ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bondanya, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan beliau menyatakan keperluan membina hospital baharu serta menaik taraf hospital sedia ada di negeri tersebut.

Sumber Facebook hrhcrownprinceofjohor

"Kita bukan sahaja boleh melihat daripada sudut keperluan hospital tetapi lihat pada keadaan lebuh raya di sini, kita sudah tahu negeri Johor dianaktirikan," tulis beliau.

Menurutnya, jumlah lorong yang terdapat di lebuh raya negeri selatan tanah air itu tidak seiring dengan sumbangan ekonomi yang disalurkan kepada negara dan Kerajaan Persekutuan.

"Bayangkan, negeri Johor yang maju, yang banyak memberi sumbangan kepada ekonomi negara dan Kerajaan Persekutuan hanya ada dua lane (lorong) di lebuh raya, berbanding Melaka dan Negeri Sembilan yang tidak menyumbang seberapa," katanya.

Justeru beliau menggesa supaya tahap kemudahan awam di negeri tersebut dipertingkatkan segera.

"Saya menyeru kepada Kerajaan Malaysia agar mempercepatkan peningkatan kemudahan awam di negeri Johor demi rakyat," tulisnya.

Sultan Ibrahim menerusi status yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya bertitah baginda berkenan membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan 1 HSA.

Sumber Facebook officialsultanibrahim

Kebakaran yang berlaku semalam di hospital itu bukan kali pertama, pada 2016 berlaku kebakaran besar di Wad Rawatan Rapi (ICU) HSA sehingga mengorbankan enam nyawa.

Diikuti pada September 2017 pula, sebuah alat 'machine sealer' di Bilik Packing Dewan Bedah HSA terbakar, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu.