LZS sasar kutip RM2.2 juta zakat PDRM Selangor menerusi skim potongan gaji

Mohd Khaidzir berkata pada tahun lepas, jumlah kutipan zakat anggota PDRM Selangor direkodkan mencecah RM1.03 juta menerusi skim potongan gaji melibatkan 2,736 anggota. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM2.2 juta daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor tahun ini, dengan menumpukan pengukuhan pelaksanaan skim potongan gaji sebagai kaedah pembayaran yang lebih konsisten, sistematik dan berterusan.
Ringkasan AI
- LZS menetapkan sasaran kutipan zakat sebanyak RM2.2 juta daripada warga PDRM Selangor tahun ini melalui pelaksanaan skim potongan gaji yang konsisten.
- Ketua Pegawai Eksekutif LZS menekankan kepentingan penyertaan lebih ramai anggota PDRM dalam skim potongan gaji bagi memastikan sasaran kutipan tercapai dengan berkesan.
- LZS turut melancarkan Kempen 'Anda Hero Asnaf, Ayuh Berzakat Sang Saka Biru' untuk menggalakkan penyertaan anggota PDRM dalam kategori sumbangan zakat mengikut kemampuan masing-masing.
Beliau berkata skim potongan gaji terbukti sebagai mekanisme paling berkesan dalam memastikan pembayaran zakat dibuat secara berterusan tanpa membebankan pembayar.
Mohd Khaidzir berkata pada tahun lepas, jumlah kutipan zakat anggota PDRM Selangor direkodkan mencecah RM1.03 juta menerusi skim potongan gaji melibatkan 2,736 anggota, sekali gus membuktikan potensi besar skim berkenaan sebagai mekanisme kutipan paling stabil.
"Sebagai sebahagian daripada usaha mencapai sasaran baharu itu, LZS turut melancarkan Kempen 'Anda Hero Asnaf, Ayuh Berzakat Sang Saka Biru' yang menawarkan kategori Wira Prihatin RM10 sebulan dan Wira Harapan RM50 sebulan mengikut kemampuan masing-masing," katanya.
Dalam perkembangan lain, LZS hari ini selesai menguruskan Wakalah Majikan PDRM Selangor berjumlah RM126,162.92 untuk diagih kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan 16 Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh Selangor bagi pelaksanaan inisiatif kebajikan dan pembangunan kerohanian anggota.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


