Difahamkan sampan yang diperbuat daripada kayu cengal itu sudah mencecah usia hampir 100 tahun, namun masih utuh dan struktur asal masih boleh ditatap generasi kini.
Sampan tersebut dimiliki keturunan keluarga Abdul Hamid Khatib Bertuah dan isterinya, Halimah Kulub Derais.
Menurut Zahari Ahamad Zarani, 76, yang merupakan penduduk asal Kampung Bukit Chupak, sampan tradisional itu dihasilkan oleh datuknya Abdul Hamid sekitar tahun 1940-an.
Jelasnya, sampan itu menjadi pengangkutan penting bagi membawa barangan bantuan yang disalurkan untuk keperluan penduduk terjejas banjir ketika itu.
"Seingat saya banjir besar itu berlaku sekitar 1960-an, ketika itu air naik sampai separuh tiang rumah. Jadi pihak kerajaan umumkan kalau nak bantuan kena ambil di Parit.
"Ketika itu saya berusia 20 tahun bersama-sama penduduk kampung serta sepupu menaiki sampan itu dan pergi ke pekan Parit untuk ambil bekalan makanan seperti beras, biskut dan sebagainya.
"Kami kena bergalah, maksudnya dayung sampan guna kayu panjang. Dua orang kena bergalah ke Parit yang makan masa hampir dua jam ke sana sebab jarak yang jauh," katanya yang merupakan anak sulung daripada enam beradik.
Tambah Zahari lagi, sampan itu dibuat memandangkan kawasan tersebut sering dilanda bah besar berikutan kawasan di Perak Tengah yang dekat dengan Sungai Perak.
"Datuk saya merupakan seorang peniaga yang berasal dari Kampar, Indonesia. Dia berniaga kain baju dan barangan dari Indonesia di sepanjang Sungai Perak.
"Isterinya yang juga opah saya memang orang sini (Parit), setelah kahwin memang datuk dan opah menetap di sini," katanya yang juga merupakan pesara guru.
Ditanya mengenai asal usul sampan ini, dia memberitahu ia dihasilkan dengan menggunakan sebatang pokok cengal dengan anggaran 30 kaki (9 meter) dan boleh memuatkan lebih 10 orang.
"Lepas ambil bantuan menaiki sampan itu, kami edarkan bekalan makanan kepada orang kampung yang terkesan.
"Hampir seminggu juga kami ulang alik naik sampan itu memandangkan tunggu bah besar surut," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelasnya lagi, menjadi harapannya untuk mengekalkan sejarah dan warisan sampan ini untuk tatapan bukan sahaja cucu cicit, tetapi kepada umum.
Buat masa ini dia berkata sampan itu dijaga oleh saudara terdekatnya, di samping mempunyai perancangan untuk membaik pulih sampan itu daripada dimamah zaman.
"Sampan ini sekarang diletakkan di rumah arwah ibu bapa saya di sini dan menjadi kenangan buat anak cucu cicit keturunan kami, bahkan ia boleh diuar-uarkan kepada umum tentang sejarah di Perak Tengah waktu dulu.
"Insya-Allah saya akan baik pulih sampan pusaka ini, cantikkan semula untuk elakkan ia reput dan musnah kerana ini merupakan sebahagian sejarah di Perak dahulunya," katanya.