Keputusan ujian terhadap kesemua sampel 'ayam seekor' daripada kilang pemprosesan ayam di Pedas, Negeri Sembilan adalah negatif virus COVID-19, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Menurut kenyataan JPV pada Khamis, pihaknya telah mengambil sampel ayam dari kilang berkenaan untuk proses ujian pengesanan virus COVID-19 melalui kaedah Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) susulan insiden beberapa pekerja di kilang itu dikesan positif COVID-19.

Kenyataan itu menyebut bahawa operasi kilang berkenaan juga telah diarahkan diberhentikan sementara bermula 7 Mei sehingga 20 Mei setelah Kementerian Kesihatan mengesahkan beberapa pekerja di kilang tersebut dikesan positif COVID-19.

Menurut JPV, kilang itu telah mendapat pensijilan Veterinary Health Mark (VHM) sejak 2008.

"Pemeriksaan daging ayam sentiasa dijalankan oleh Pegawai Pemeriksa Daging bagi memastikan keselamatan dan kualiti ayam yang diproses di kilang tersebut adalah terjamin," menurut jabatan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa melalui kajian saintifik beberapa agensi dan institusi antarabangsa, antaranya Universiti Macau dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) Paris, sehingga kini membuktikan haiwan seperti lembu, kambing, babi dan ayam bukan penyebar virus COVID-19 kepada manusia.

Menurut JPV, kajian yang diterbitkan dalam beberapa jurnal antarabangsa itu menunjukkan bahawa penyebab kepada penyakit COVID-19 oleh virus SARS-Cov-2 adalah dari kumpulan betakoronavirus manakala kumpulan gammakoronavirus terdapat pada spesies unggas seperti ayam.

Virus betakoronavirus tidak boleh menjangkiti spesies unggas kerana mempunyai reseptor berbeza, kata jabatan itu.

"JPV menasihatkan masyarakat supaya tidak khuatir untuk memakan daging ayam," katanya.

- BERNAMA