SELEPAS lebih sedekad menulis di Amanz, saya menyedari trend dalam kalangan pembaca yang tidak begitu menggemari cip Exynos apabila ia digunakan pada peranti Samsung.

Walaupun ia cip rekaan sendiri, nama Exynos kebelakangan ini terpalit dengan isu pemanasan melampau dan prestasi tidak begitu memberangsangkan.

Nampak sahaja nama Exynos ramai sudah mula tawar hati. Oleh itu kini kedengaran ura-ura nama Exynos akan direhatkan dan nama baharu baharu bakal digunakan Samsung.

Menurut ciapan @OreXda semalam, cip rekaan sendiri Samsung akan menggunakan nama Samsung Dream Chip selepas ini.

Penjenamaan semula oleh Samsung ini mirip seperti yang dilalukan oleh MediaTek yang berubah kepada Dimensity daripada Helio serta Qualcomm yang menggunakan nombor lebih kecil pada nama cip generasi baharu.

Masih tidak diketahui bilakah Dream Chip akan diumumkan serta peranti pertama menggunakannya.

Besar kemungkinan menerusi siri Galaxy S24 dan Galaxy S24+ pada Januari depan. Kedua-dua peranti ini juga akan menjadi telefon pintar Samsung yang dipasarkan sebagai peranti AI. -Amanz