BULAN lepas, Samsung telah mengesahkan yang teknologi AI mereka akan berkembang ke peranti selain telefon pula.

Ketika itu hanya Galaxy Wearables disahkan akan menerima ciri Galaxy AI.

Galaxy Ring dengan AI Health, penterjemahan AI dengan Galaxy Buds dan terbaru Samsung akan melancarkan televisyen AI pula.

Pada 27 Mac 2024, 9PM Samsung Malaysia akan mengadakan acara Unbox & Discover 2024.

Dalam video pendek yang dikongsi, acara ini akan memperlihatkan televisyen baharu mereka yang dilengkapi dengan ciri AI.

Salah satu televisyen yang akan dilancarkan adalah Samsung Neo QLED 8K baharu.

Dalam laman web Samsung beberapa hari lepas, mereka mendedahkan model televisyen 75″ Neo QLED 8K QN900D dengan cip NQ8 AI Gen3 yang menyokong ciri perskalaan AI 8K dan AI Motion Enhancer Pro.

Ciri berkaitan audio dan sambungan Internet turut diberi petanda akan menerima peningkatan kualiti.

Ciri seakan pengecaman suara atau arahan suara yang lebih baik turut diacah dalam video yang sama.

Kita perlu nantikan acara pada 27 Mac tidak lama lagi untuk melihat apakah yang dimaksudkan oleh Samsung dengan televisyen AI.

Adakah ciri Galaxy AI yang sama akan disertakan atau ciri pembelajaran mesin sedia ada pada kebanyakan televisyen pintar ditukar terma kepada AI. -Amanz