BALING: Lima ahli 'Geng Farid Kancil Silver' berusia antara 21 hingga 35 tahun yang aktif melakukan kegiatan samun sejak setahun lalu berjaya ditahan polis dalam dua serbuan yang dilakukan di Sik dan Lubuk Merbau pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, empat daripada lima suspek berkenaan ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling di sebuah rumah sekitar daerah Sik kira-kira jam 11.30 pagi.

Susulan itu, polis berjaya menahan seorang lagi suspek di sebuah rumah di Lubuk Merbau kira-kira jam 5.35 petang pada hari yang sama.

Hasil siasatan awal mendapati empat suspek mengaku melakukan kegiatan ragut dan samun manakala seorang lagi hanya mendakwa bahawa rumahnya dijadikan 'port' menghisap dadah dan tidak mengaku terlibat sama dalam kegiatan samun terbabit.

Tambah Shamsudin, kegiatan samun geng terbabit didalangi ketua kumpulan berusia 31 tahun yang pernah dipenjara selama lima tahun sebelum ini

"Dalam satu kes, mereka telah masuk ke dalam kedai runcit berpura-pura untuk membeli barang, dan selepas melihat penjaga kaunter itu dalam keadaan tidak bersedia dan menganggap mereka sebagai pelanggan, mereka telah merempuh masuk ke dalam kaunter dan merampas wang tunai.

"Begitu juga dengan dua kes lain yang berlaku di Baling di mana mereka meronda menggunakan kenderaan (jenis) Kancil dan mereka melihat mangsa sedang menaiki motosikal .

"Mereka telah sekat motosikal tersebut dan menarik beg yang berada di dalam raga motosikal mangsa tersebut serta melarikan diri," katanya, sambil menambah bahawa kebanyakan mangsa adalah wanita.

Jelasnya, keputusan ujian awal air kencing terhadap suspek juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis heroin.

Pihak polis turut merampas sebuah Perodua Kancil dan Hyundai, motosikal, anak kunci, telefon bimbit, topi keledar, kad ATM, resit kedai emas dan dadah heroin dianggarkan seberat 44.22 gram dalam serbuan berkenaan.

Beliau turut menyatakan bahawa pihak polis percaya dapat menyelesaikan lebih 10 kes membabitkan kejadian ragut serta samun, curi kenderaan dan juga dadah dengan penahananan kelima-lima suspek

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 395 (KK), Seksyen 379 A (KK) serta Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39(C) ADB 1952.