Samun guna pistol mainan, penganggur direman enam hari

Abd Razak Mohd Ali
Disember 7, 2022 05:43 MYT
Suspek (belakang, kemeja ungu) yang berusia 32 tahun mengalami patah tangan kiri selepas terjatuh ketika melarikan diri dalam kejadian itu. - Foto Astro AWANI
IPOH: Seorang pengganggur direman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes samun kedai emas dengan senjata pistol mainan di Jalan Sultan Iskandar di sini, semalam.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd Darus mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Ipoh.
Suspek yang berusia 32 tahun mengalami patah tangan kiri selepas terjatuh ketika melarikan diri dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata.
Dalam kejadian sekitar jam 2 petang itu, suspek yang berasal dari Negeri Sembilan, masuk ke sebuah kedai emas kononnya untuk membeli seutas rantai.
Suspek mengambil barang kemas itu dan mengacukan senjata menyerupai pistol sebelum melarikan diri.
Suspek bagaimanapun berjaya ditahan selepas dikejar oleh orang awam dan kes dapat diselesaikan dalam tempoh 30 minit.
#samun bersenjata #pistol mainan #penganggur direman #kedai emas