Tindakan berani seorang duda satu anak melakukan samun bersenjata di enam kedai serbaneka seorang diri membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Norma Ismail, selepas tertuduh Muhammad Farahi Md Nor, 22 tahun mengaku bersalah terhadap kesemua enam pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan enam rompakan bersenjata terhadap pekerja kedai serbaneka yang membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah kira- kira RM2,499.60.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di kedai serbaneka di Batu Berendam, Semabok Perdana, Taman Bukit Rambai Utama, Pokok Mangga dan Klebang Besar serta Malim antara 2 hingga 25 Julai 2019.

Mengikut fakta kes, tertuduh dipercayai akan memasuki kedai-kedai serbaneka berkenaan secara berseorangan manakala lima rompakan menggunakan senjata parang dan satu lagi rompakan menggunakan besi kuku kambing.

Justeru, tertuduh yang juga seorang penganggur didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim memohon kepada mahkamah agar hukuman setimpal berbentuk pengajaran dan mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh dengan menakutkan mangsa yang juga pekerja, dengan menggunakan senjata.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya merayu hukumannya diringankan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara lima tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapunm hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 28 Julai 2019.