KUALA LUMPUR: Mendiang Tun S. Samy Vellu sering dikaitkan dengan sumbangannya kepada infrastruktur Malaysia, namun bekas Presiden MIC itu juga telah bekerja keras dalam memastikan kejayaan pendidikan komuniti India.

Dalam usaha menggalakkan setiap keluarga India untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang lulusan universiti, beliau menubuhkan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan membangunkan Kolej Tafe di Seremban serta Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia atau Universiti AIMST di Bedong, Kedah.

MIED hingga kini telah menawarkan biasiswa dan pinjaman kepada lebih 15,000 orang pelajar, kebanyakannya kaum India, untuk meneruskan pengajian dalam ijazah perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan teknologi maklumat.

Memetik buku "Samy Vellu, as we know him" beliau secara peribadi telah membayar yuran perancangan, caj yang dikenakan pihak berkuasa tempatan untuk jalan akses dan perbelanjaan untuk ujian tanah, lanskap dan asas Kolej Tafe.

Samy Vellu yang merupakan Presiden MIC mulai 1981 hingga 2010, juga telah mendapatkan pinjaman RM2.089 juta daripada United Asian Bank atas namanya untuk pembinaan kolej itu, menurut buku tersebut.

Beliau juga sentiasa berusaha untuk mengekalkan dan menambah baik sekolah-sekolah Tamil di negara ini.

Sifat kesungguhannya dalam memastikan inisiatifnya mencapai matlamat, telah pun ditunjukkan pada 17 Sept, 1963, iaitu ketika kemuncak Konfrontasi Indonesia-Malaysia, apabila beliau memanjat tiang bendera dan membawa turun bendera Indonesia di kedutaan negara itu di Jalan Ampang di sini.

Menurut buku itu, Samy Vellu telah diangkat sebagai wira Malaysia selepas kejadian tersebut yang menjadi tajuk muka depan beberapa surat khabar tempatan keesokan harinya.

Pada usia 23 tahun beliau menyertai MIC Cawangan Batu Caves dan kerjaya politiknya terus berkembang sehingga beliau menjadi presiden parti dan berkhidmat selama 31 tahun.

Dari segi pencapaian sebagai presiden parti paling lama berkhidmat, beliau mengatasi pemimpin Barisan Nasional seangkatannya, termasuk mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik yang menerajui Gerakan untuk 27 tahun (1980-2007), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai UMNO selama 22 tahun (1981-2003) dan Tun Dr Ling Liong Sik yang memimpin MCA selama 16 tahun (1987-2003).

Samy Vellu turut menubuhkan Maika Holdings dan Persatuan Koperasi Perumahan Pekerja, Yayasan Strategik Sosial (YSS) dan Yayasan Rehabilitasi Sosial.

Beliau juga berjuang dalam membawa sami-sami berkelayakan bagi mengisi kekurangan sami di kuil Hindu.

Beliau telah bekerjasama erat dengan Hindu Sangam Malaysia pada era 90-an untuk mendapatkan permit daripada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan bagi pembinaan atau pengubahsuaian kuil.

Beliau juga merupakan antara pemimpin paling lama berkhidmat dalam Kabinet iaitu selama tiga dekad bermula 1979, terutama sebagai Menteri Kerja Raya.

Samy Vellu yang dilahirkan pada 8 Mac, 1936, meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam di kediamannya pada usia 86 tahun.

Beliau meninggalkan isteri Toh Puan R. Indrani, anak lelaki Datuk Seri S. Vell Paari, anak perempuan S. Mangayerkarasi, menantu Datin Seri Shaila Nair, empat orang cucu dan seorang cicit.

-- BERNAMA