GEORGE TOWN: Kesanggupan bersengkang mata demi mengulang kaji pelajaran membuahkan hasil buat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lelaki (L) Methodist yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Liew Ray Hong dan Lee Sim Yee yang juga rakan sekelas itu, masing-masing mendapat keputusan A bagi mata pelajaran Pengajian Am, Prinsip Akaun, Sejarah dan Ekonomi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Menurut Liew, 20, dia tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang kerana dalam ujian dan peperiksaan sebelum ini tidak pernah mencatat keputusan sehingga PNGK 4.00.

''Peperiksaan STPM ini memang sukar dan saya mengulang kaji bersungguh-sungguh semasa menghadapi peperiksaan ini. Ada ketika saya tidak tidur selama 24 jam bagi mengulang kaji pelajaran terutama dalam subjek Pengajian Am dan Sejarah.

"Semasa jawab peperiksaan bagi dua subjek itu memang tak tidur 24 jam. Memang saya betul-betul bersungguh ulang kaji sebab nak dapatkan keputusan cemerlang...dan bila dapat keputusan cemerlang tadi saya sangat gembira," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Liew yang bercita-cita menjadi peguam, berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, Lee, 21, berkata dia tidak menyangka memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM kerana kesemua subjek yang diambilnya amat sukar.

''Saya turut mengambil kelas tuisyen secara dalam talian bagi mata pelajaran Pengajian Am kerana subjek ini amat sukar dan saya gembira kerana rakan baik saya turut memperoleh keputusan cemerlang hari ini,'' katanya yang mahu menyambung pelajaran dalam bidang pentadbiran perniagaan di UM.

Keputusan STPM bagi peringkat Pulau Pinang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad.

-- BERNAMA