KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa lawatan 55 hari ke New Zealand oleh bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Edmund Santhara Kumar semasa wabak COVID-19, adalah salah dari segi moral.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Santhara Kumar yang merupakan Ahli Parlimen Segamat pada ketika itu, sepatutnya mengorbankan percutiannya dan pulang demi rakyat, kerana seluruh negara sedang dilanda virus itu.

Najib yang merupakan saksi defendan yang ketiga berkata demikian ketika disoal Peguam Dinesh Muthal, yang mewakili Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, semasa perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan Santhara Kumar terhadap Prabakaran (defendan).

"Saya rasa dari segi moralnya adalah salah untuk sesiapa (ahli politik) untuk bercuti selama 55 hari terutamanya semasa pandemik... ramai orang mengibarkan bendera putih kerana mereka memerlukan makanan dan bantuan. Jika saya berada dalam situasi ini, saya akan memendekkan cuti saya dan saya akan mencari penerbangan seterusnya untuk kembali,” kata Najib.

Plaintif (Santhara Kumar) telah memfailkan saman pada 23 Jun 2021 terhadap Prabakaran, kerana didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah berhubung lawatannya ke New Zealand pada 2020

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan telah mengadakan sidang media di luar Suruhanjaya Tinggi New Zealand pada 17 Mac 2021 antara 9.30 pagi dan 2 petang, dengan mengeluarkan maklumat tidak benar dan palsu mengenai tanggungjawab plaintif sebagai timbalan menteri.

Plantif mendakwa bahawa defendan atau wakilnya telah menghantar satu memorandum kepada Pesuruhjaya Tinggi New Zealand yang mengkritik kelulusan dan kebenaran diberikan kepada plantif untuk melawat New Zealand dan defendan juga telah menghubungi pegawai kedutaan untuk mengetahui informasi dan permohonan plantif untuk memasuki negara itu.

Mengimbas kembali percutiannya ke Hawaii pada 2014, Najib berkata, beliau terpaksa memendekkan percutiannya kerana banjir besar di negara ini, walaupun keluarganya merayu agar beliau meneruskannya (bercuti).

"Tetapi saya katakan ‘tidak, saya perlu bersama rakyat’. Saya tidak mahu terus berehat dan saya pulang semula untuk ke kawasan, bersama rakyat (ketika itu). Pada waktu sukat, seorang itu perlu bersama rakyat. Mereka memerlukan kehadian dan kepimpinan... dan saya telah sentiasa pegang perkara itu sebagai sebahagian daripada perinsip saya sebagai ahli politik,” katanya.

"Sepanjang perkhidmatan saya, saya tidak pernah mengambil cuti lebih daripada dua minggu kerana saya rasakan ia suatu yang salah untuk mengambiil cuti sebegitu lama.

"Sebagai seorang pemimpin kerajaan, saya perlu menjadi contoh yang baik, kerana jika saya mengambil cuti 55 hari, mereka yang lain juga akan meminta yang sama, dan ia suatu yang tidak betul jika anda dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat untuk mereka. Ia suatu yang mewah untuk pergi bercuti lebih daripada dua minggu,” kata Najib.

Sementara itu, ketika disoal oleh peguam bela Santhara Kumar, N Krishnan Nair, Najib menegaskan bahawa Santhara Kumar merupakan sebahagian daripada kerajaan dan beliau harus memaklumkan keberadaannya kepada rakyat, sebelum meninggalkan negara.

Krishnan Nair: Datuk Seri, adakah anda bersetuju dengan saya bahawa apabila timbalan menteri (Santhara Kumar) tiada, ‘rakyat’ boleh mencari bantuan daripada menteri atau jabatan lain yang berkaitan?

Najib menjawab, "Saya rasa anda tersilap mengenai perkara itu. Anda (Santhara Kumar) merupakan sebahagian daripada kerajaan, oleh itu, anda tidak boleh mengatakan ‘ada menteri’ supaya saya boleh mengambil cuti 55 hari.”

Najib menegaskan, jika Santhara Kumar salah kerana bercuti selama 55 hari, adalah sesuatu yang salah juga untuk Perdana Menteri ketika itu meluluskan percutian ke luar negara itu.

Plaintif menuntut ganti rugi teladan, teruk dan pampasan dan bagi pernyataan permohonan maaf dan penarikan balik untuk diterbitkan dalam tiga akhbar tempatan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil serta dimuat naik di akaun Facebook dan YouTube defendan.

Pada 8 September 2021, melalui pernyataan pembelaan, Prabakaran mendakwa bahawa kenyataan yang dikeluarkannya tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk mencemarkan imej atau reputasi plaintif.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarna Hassan bersambung esok dengan seorang lagi saksi.