SHAH ALAM: “Datuk Seri Sanusi merupakan seorang Menteri Besar Kedah, bukannya pengganas,” kata peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud selepas sebutan kes hasutan di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas pihak pendakwaan kekal dengan pendirian bahawa, senarai nama dan pernyataan saksi yang akan dipanggil ke mahkamah hanya akan diserahkan dalam masa 14 hari sebelum perbicaraan, yang dijadualkan bermula Julai depan.

Menurut Awang Armadajaya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, 50, tidak pernah melakukan jenayah keganasan, mendera atau mengugut orang.

“Jadi tidak timbul isu mengenai keselamatan saksi kecuali bagi melibatkan kes jenayah terancang atau bunuh.

“Isu ini tiada kena-mengena dengan akta hasutan yang dihadapi anak guam saya,” katanya.

Beliau berkata, alasan keselamatan saksi terancam tidak timbul, namun pihak pendakwaan menggunakan alasan ia dibuat berdasarkan undang-undang.

Katanya, sememangnya peruntukan undang-undang tidak mewajibkan senarai berkenaan diberi lebih awal, namun pihak pendakwaan sepatutnya bertindak lebih adil.

Susulan itu, Awang Armadajaya berkata, pihak terbabit tidak boleh menyalahkan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu sekiranya terserempak dengan mana-mana saksi kelak.

Sementara itu, peguam ini berkata, menyentuh isu perintah larangan bersuara, mahkamah mengarahkan semua pihak supaya tidak boleh membincangkan mengenai merit kes.

Menurutnya, perkara yang berlaku di mahkamah boleh dilaporkan, namun sekiranya digunakan untuk ceramah, ia dilarang sama sekali.

Sekiranya berlaku beliau berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang ingkar.

Pada 18 Julai 2023, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Februari lalu, perbicaraan dua itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam prosiding ini, selain Awang Armadajaya, Sanusi turut diwakili peguam, Mohd Tajuddin Abd Razak, Muhamad Hafizan Shafuan Kamarulzaman dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, Abdul Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian