SUNGAI PETANI: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan telah menerima notis undang-undang daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu unsur nadir bumi (REE) dan bersedia untuk bertemu di mahkamah.

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat Perpaduan Nasional mengulangi kembali kenyataannya sebelum ini bahawa REE telah dicuri di Kompartmen milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

"Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dah hantar surat saman kat saya.

"Tak ada masalah saya hantar peguam saya jawab balik, mai kita lawan di mahkamah. Saya kata REE dicuri, noktah," katanya semasa berucap pada Majlis Pengenalan Calon dan Pelancaran Manifesto Perpaduan Kedah di Dataran Laguna Merbok, dekat sini pada malam Khamis.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mempersoalkan tindakan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman yang didakwa tidak menjalankan siasatan ke atas 360 guni REE.

"Saya nak tanya Pengarah PTG Kedah, soalan kalau lori pertama ditahan 185 guni, hang hantar kompaun kepada MBI, pasal apa kes kecurian 360 guni ini apabila hang dapat surat diberitahu bahawa berlaku kejadian ini sampai sekarang hang tak siasat, tak dibuka kertas siasatan di bawah Enakmen Mineral Negeri Kedah.

"Siapa yang patut siasat? Pejabat PTG Kedah. 360 guni REE kejadian pada 31 Januari sampai hari ini, sudah tujuh bulan sebab apa tidak siasat?

"Hang nak lindungi siapa wahai Pengarah PTG Kedah? Barang bukti masih ada 360 guni di stor Jabatan Hutan, saya boleh bawa. Soalan ialah kenapa dia tidak siasat," kata beliau lagi.

Pada 16 Julai lalu, Pengarah PTG Kedah, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman tampil memberi penjelasan bahawa kompaun RM500,000 ke atas MBI kerana mempunyai kaitan mencuri REE tahun lalu adalah dibuat mengikut perundangan dan bukan ditujukan khusus kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Menteri Besar.

Jelas Md Shuhaime, pendakwaan di bawah Seksyen 426 itu dibuat selepas mendapat kuasa untuk mengeluarkan kompaun daripada Ketua Pendakwaan Kedah itu tidak menulis nama Muhammad Sanusi untuk dikompaun. - Sinar Harian