KUALA LUMPUR: Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Sapiah Mohd Nor dilantik sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Ke-18 berkuat kuasa 15 September 2021.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir  Khalid memaklumkan, pelantikan beliau diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Surat pelantikan beliau diserahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa di pejabatnya di Bangunan Parlimen.

Mahdzir pada masa sama berkata pelantikan itu bersejarah kerana Sapiah menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan awam.

"Ia juga merupakan sejarah kepada JAKOA apabila dipimpin oleh wanita sekali gus meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Sapiah menyifatkan pelantikan itu merupakan peluang buatnya untuk menabur jasa kepada masyarakat Orang Asli.

"Saya bersyukur kepada Allah S.W.T atas pelantikan ini, dan saya rasa sampai masanya saya give back kepada bangsa saya sendiri, sebab selama ini peluang untuk saya berbakti walaupaun ada tapi tak direct, harapan saya dalam JAKOA ini saya dapat menyumbang setakat yang mana kemampuan saya," katanya.

Sapiah, 56, adalah keturunan Suku Semai berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan universiti yang sama pada 2001.

Memulakan tugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir pada tahun 1991, beliau yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun juga pernah berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan.

Antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Perusahaan Utama dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) sebelum dilantik menjadi Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP pada tahun 2003 sehingga kini.