Kementerian Pendidikan menggantung sementara Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) selepas terdapat dakwaan bahawa sistem itu diserang.

Menterinya, Maszlee Malik berkata, pihaknya memohon maaf atas perkara tersebut dan kini sedang menyiasat dakwaan terbabit secara teliti.

“Sebagai langkah berjaga-jaga saya telah mengarahkan pihak kementerian untuk menutup sistem tersebut buat sementara waktu.

“Pada masa sama, pihak kementerian juga sedang menjalankan analisis keselamatan yang mendalam bagi mengesan kelemahan terhadap sistem tersebut dan satu tindakan segera akan diambil sejurus masalah tersebut diatasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, tindakan segera akan diambil bagi menyelesaikan isu keselamatan maklumat SAPS namun, laman sesawang dan aplikasi lain membabitkan Kementerian Pendidikan berfungsi seperti biasa.

SAPS merupakan sistem yang berfungsi membuat analisis peperiksaan sekolah bagi memudahkan ibu bapa membuat semakan keputusan anak-anak mereka.