MALAYSIA
SARA: Tambah pemberian, hapus STR, tukar kepada tunai? Penganalisis berbeza pandangan

Operator Kilang, Norlia Abdullah (kanan) menyusun barangan yang dibelinya ketika membeli barangan keperluan dengan menggunakan bantuan SARA ketika tinjauan di sebuah pasar raya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Hanya selepas tujuh hari Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mula dikreditkan kepada penerima, lebih 1.7 juta rakyat membeli barangan keperluan asas dengan perbelanjaan mencecah RM641.9 juta sejak 31 Ogos.
Ringkasan AI
- Pelaksanaan SARA dianggap rumit dan membataskan pilihan barangan, terutama barangan basah yang dikecualikan kerana isu harga dan kod bar. Terdapat perbezaan pandangan: ada yang cadang tambah nilai SARA dan hapus STR, manakala yang lain sokong pemberian tunai untuk fleksibiliti keperluan keluarga. ARA dilihat berpotensi sebagai sistem bantuan jangka panjang yang lebih cekap dan mampu kurangkan beban kewangan negara melalui mekanisme penebusan dan rebat cukai.
Astro AWANI menampilkan tiga orang tetamu dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat untuk menilai sejauhmana keberkesanan inisiatif SARA dan perspektif yang perlu diambil kira untuk memastikan tujuan utama program ini boleh dicapai.
Dialog Poket Rakyat: RM100 SARA untuk semua, cukup atau tidak
Pelaksanaan SARA rumit?
Berdasarkan pemerhatian Penganalisis Penyelidikan Kanan Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah, Sunway University, Derek Kok, proses penebusan ini disifatkan rumit dan menyusahkan.
“Saya sendiri turun padang pada Isnin untuk uji sistem (SARA) ini. Persoalan pertama adalah dalam 14 kategori barangan yang boleh dibeli, mengapa barang mahal seperti barang basah; ayam, ikan dan sayur, tidak dibenarkan.
“Timbul persoalan, mengapa terlalu rumit sehingga pelanggan terpaksa tanya pelanggan lain mengenai barangan yang boleh dibeli dengan menggunakan SARA. Ini menjadikan proses yang sepatutnya membantu, sebaliknya menyusahkan,” katanya.
Namun kenyataan itu dibidas oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Wira Ameer Ali Mydin yang menyatakan kesesakan dan kesulitan nyata hanya berlaku pada minggu pertama, namun pada minggu kedua pelaksanaan SARA, proses pembelian berjalan lancar tanpa gangguan besar.
SARA mengekang had belanja, mengapa barang basah dikecualikan?
Selepas hampir dua minggu pelaksanaan SARA ini, timbul pertikaian mengenai had kategori barangan yang boleh dibelanjakan oleh pengguna. Dalam hal ini, Derek turut menyuarakan sentimen yang sama.
“Persoalan pertama adalah dalam 14 kategori barangan yang boleh dibeli, mengapa barang mahal seperti barang basah; ayam, ikan dan sayur, tidak dibenarkan. Kedua, dalam kategori barangan kebersihan rumah, mengapa span dan tisu tidak dimasukkan,” ujarnya.
Lebih baik bagi tunai daripada beri bantuan melalui kaedah MyKad, SARA - Penganalisis
Mengulas lanjut mengenai persoalan pengecualian barang basah daripada senarai layak belanja SARA, Ameer Ali menjelaskan harga barangan tersebut berubah-ubah. Oleh itu, ia terdedah kepada manipulasi harga yang tidak menguntungkan rakyat.“Pagi tadi di pasar, ada seorang pak cik tanya saya kenapa tidak boleh beli barang basah; ikan, ayam dan bawal? Dia marah. Saya kata, RM100 cukup untuk beli beras, tepung dan lain-lain.
“Kenapa tidak wajar barang basah dibenarkan untuk dibeli dengan SARA? Ini kerana, harga barangan basah itu berdasarkan berat.
“Melalui MyKasih, kerajaan mahu pastikan tidak ada penipuan. Oleh itu, hanya barangan yang ada kod bar (tetap), kerajaan setuju dan hanya barangan ini dijual (layak dibeli dengan SARA),” jelasnya.
Tambah SARA, hapus STR, tukar kepada pemberian tunai?
Ameer Ali akui bahawa nilai RM100 yang diberikan melalui SARA adalah tidak mencukupi. Oleh itu beliau mencadangkan agar nilai bantuan itu ditambah, tetapi dengan cara menghapuskan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Saya hendak cadangkan kepada kerajaan, hapuskan Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Kemudian, nilai bantuan STR itu dipindahkan dalam bentuk SARA. Ramai yang kata RM100 tidak cukup, maka tambah bantuan tunai di sini (SARA melalui MyKad).
“Maka daripada kerajaan beri STR dalam bentuk tunai, kemudian kita tidak tahu mereka belanja di mana, sekurang-kurang SARA jamin perbelanjaan isi rumah untuk penuhi keperluan asas. Pendapatan-pendapatan lain yang ada boleh guna untuk perkara lain,” katanya.
Tetapi, Derek berbeza pandangan. Menurutnya, pemberian bantuan secara tunai adalah pilihan yang lebih baik.
“Hapus STR, tambah nilai SARA kalau boleh” - Pengarah Urusan Mydin
“(SARA) Ini menjadikan proses yang sepatutnya membantu, sebaliknya menyusahkan. Oleh itu, (wajar) diberi tunai kerana setiap keluarga ada keperluan berlainan. “Contohnya, hari ini saya hendak beli nasi, tetapi tidak cukup wang maka boleh juga bantuan tunai. Contoh lain, jika anak saya sakit perlu ke klinik, saya tidak boleh guna SARA untuk beli antibiotik yang mahal.
“Oleh itu, apabila kita beri kredit seperti SARA, ia tidak menyelesaikan masalah kemiskinan. Cara untuk selesaikan kemiskinan ialah dengan agih tunai (kepada rakyat). Kita percaya individu itu akan boleh membuat keputusan kewangan terbaik yang sesuai dengan keadaan diri dan keluarga,” katanya.
Tambah baik SARA: Pandangan ketiga
Mengambil pendekatan diluar tumpuan Ameer Ali dan Derek, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menilai pelaksanaan SARA berdasarkan kepada potensi lebih besar yang boleh dicapai melalui inisiatif ini.
“Saya lihat sistem yang dilaksanakan ini boleh jadi permulaan kepada suatu yang lebih besar dan mampan... Selepas ini kerajaan boleh beri lagi bantuan (melalui MyKad) dalam situasi yang memerlukan bantuan diberikan secara terus kepada rakyat.
“Kita pernah berdepan dengan COVID-19 yang mana rakyat tercari-cari di mana hendak dapatkan bantuan. Apabila ramai yang sudah tahu cara untuk gunakan MyKad dan tahu di mana barangan boleh didapatkan dengan bantuan ini, maka proses penyaluran bantuan ini akan jadi lebih mudah,” katanya.
Selain itu, Ahmed Razman turut mencadangkan agar sistem SARA ini diteruskan kerana ia dilihat mampu mengurangkan beban kewangan dan hutang negara.
“Melalui sistem Muqassah (pengguguran/imbangan) yang serupa seperti SARA, kerajaan tidak perlu keluarkan duit. Rakyat terus gunakan kadar bantuan untuk tebus barangan dan pihak peruncit akan tebus semula jumlah jualan daripada kerajaan.
“Kerajaan boleh tambah baik sistem ini melalui rebat cukai. Katakan Mydin perlu bayar RM10 juta cukai, tetapi pada masa yang sama Mydin layak tebus RM2 juta menerusi perbelanjaan SARA oleh rakyat, maka jumlah cukai yang perlu dibayar Mydin diimbangkan semula (menjadi RM8 juta sahaja).
“Oleh itu, kerajaan boleh jimat apabila tidak perlu buat pinjaman dan bayar faedah,” jelasnya.
Sistem pemberian SARA boleh kurangkan beban kewangan, hutang negara - Penganalisis
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami