IPOH: Kempen menanam sayur-sayuran atau memelihara haiwan ternakan perlu selari dengan pendekatan kerajaan dalam menyediakan mekanisme kemudahan berkaitan.

Ia termasuk permohonan tanah tumpangan sementara bagi tujuan pertanian, kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif MUDA Perak, Moo Keng Hao.

Beliau menyarankan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad yang meminta rakyat negeri itu menanam sayuran dan memelihara ternakan supaya tidak bersikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, bantuan dan pendidikan wajar diperkasa bagi merealisasikan cadangan berkenaan.

Ia seperti bantuan biji benih, baja atau kempen pendidikan tanaman hidroponik dan aquaponik yang semakin popular di kawasan bandar.

"Banyak persoalan yang timbul susulan cadangan tersebut, namun tidak dibentangkan penyelesaiannya oleh kerajaan.

"Persoalannya, adakah jika rakyat meneroka tanah terbiar untuk bercucuk tanam akan dibantu kerajaan?

"Atau sebaliknya, kerajaan akan mengusir dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka, seperti yang kerap kali terjadi sebelum ini?" soalnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, bantuan pula perlu diberikan kepada rakyat yang mahu mendapatkannya tanpa karenah birokrasi.

Moo berkata, kerajaan negeri pasti mampu menjalankan kempen sedemikian dengan kerjasama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak.

"Malah, Saarani sendiri adalah mantan Exco Pertanian suatu masa dahulu, sudah tentu faham cadangan tersebut tidak akan berjaya jika hanya sekadar retorik di bibir.

"Pelaksanaan yang berkesan juga perlu dilaksanakan. Atau, ia gagal seperti kempen bertani di bandar ketika beliau menggalas tanggungjawab Exco Pertanian dulu," katanya lagi.

Justeru, katanya, MUDA Perak melihat isu kekurangan bekalan makanan sebagai sesuatu yang serius dan perlu ditangani  kerajaan negeri Perak secara tuntas.

"Cadangan tidak wajar dibiarkan sekadar pujangga politik, ia perlu dibentangkan dengan pelan tindakan dalam membantu menjayakan kempen tersebut.

"Ini sekali gus membantu rakyat dalam menghadapi krisis global berkaitan kekurangan bekalan makanan," tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan, kerajaan negeri Perak menyarankan supaya rakyat di negeri ini menanam sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.

Saarani berkata langkah itu juga merupakan antara inisiatif bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga beberapa produk pertanian dan penternakan ketika ini.