Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg beri bayangan negeri itu akan mempunyai sumber pendapatan baharu yang lebih kukuh.

Menurut Abang Johari, dengan hasil pendapatan itu nanti masa depan Sarawak dijamin akan lebih cerah.

Bagaimanapun beliau hanya akan membuat pengumuman lanjut mengenainya selepas mengambil kira formula pelaksanaannya.

"Saya ada formula untuk menambah pendapatan negeri Sarawak.

"Insya Allah suatu masa nanti saya akan beritahu. Buat masa ini biarlah buat congakan dahulu," katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu PBB berkata demikian semasa berucap dalam Konvensyen Khas PBB Zon Utara di sini, pada Sabtu.

Tambah Abang Johari menerusi sumber pendapatan tambahan itu pembangunan Sarawak akan terus dipertingkatkan.

Ia termasuk memperkasakan sistem pendidikan negeri dengan cara tersendiri.

Beliau pada masa sama percaya iklim politik tempatan yang memihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika ini akan memberi lebih manfaat kepada rakyat negeri itu.

"Saya yakin selagi kita dalam keadaan ini dan perpaduan dan kerjasama kita dalam GPS kukuh masa depan Sarawak adalah cerah.

"Hanya dalam masa tiga tahun kita telah berjaya menambah RM3 bilion pendapatan Sarawak," ujarnya.