MALAYSIA
Sarawak cadang tubuh platform pensijilan hidrogen, perkukuh integriti pasaran

Abang Johari berkata Sarawak berusaha gigih untuk memperoleh perjanjian jual beli jangka panjang di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur dalam industri hidrogen berskala besar di negeri itu. -Foto FB UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mewujudkan platform pensijilan hidrogennya sendiri sejajar dengan piawaian antarabangsa bagi memastikan ketelusan dan kebolehkesanan dalam menyokong integriti pasaran.
Ringkasan AI
- Kerajaan Sarawak akan mewujudkan platform pensijilan hidrogen sendiri selaras dengan piawaian antarabangsa bagi menjamin ketelusan dan integriti pasaran.
- Sarawak melancarkan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen (SHER) untuk menjadi pengeluar hidrogen yang kompetitif, boleh dipercayai dan berskala besar melalui pelaburan dalam teknologi dan inovasi.
- Kerajaan negeri turut meneliti penubuhan platform pensijilan bersama peringkat ASEAN dan antarabangsa sebagai pemangkin pasaran sukarela pertukaran karbon, disokong oleh tadbir urus, infrastruktur dan pembiayaan kukuh.
Abang Johari berkata Sarawak berusaha gigih untuk memperoleh perjanjian jual beli jangka panjang di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur dalam industri hidrogen berskala besar di negeri itu.
"Kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif menerusi pelancaran Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak (SHER), iaitu pelan jangka panjang yang menyasarkan Sarawak sebagai pengeluar hidrogen yang kompetitif dari segi kos, boleh dipercayai dan mampu berkembang secara berskala.
"Lebih penting, Sarawak sedang melabur dalam bidang teknologi dan inovasi kerana kami sedar bahawa penambahbaikan berterusan ialah kunci kepada daya saing dalam landskap tenaga yang sentiasa berubah," katanya dalam kenyataan itu.
Kerajaan Sarawak juga sedang meneliti kemungkinan untuk mewujudkan satu platform pensijilan bersama yang diterima pakai di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Abang Johari berkata piawaian berkenaan mestilah selaras dengan penanda aras global kerana dalam jangka panjang ia berpotensi menjadi pemangkin kepada pasaran sukarela bagi pertukaran karbon.
Beliau berkata keseluruhan inisiatif berkenaan perlu disokong oleh pemacu kukuh termasuk tadbir urus, infrastruktur, pembiayaan, pembangunan tenaga kerja serta kejelasan peraturan supaya dapat membentuk platform yang membolehkan Sarawak muncul sebagai peneraju hidrogen serantau.
Lawatan kerja rasmi Abang Johari ke Tokyo selama dua hari bermula semalam itu khusus bagi menghadiri persidangan berprestij berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami