KUCHING: Usaha gigih serta komitmen perkhidmatan awam negeri menyumbang kepada kejayaan Sarawak mencatatkan prestasi perolehan hasil tertinggi kerajaan negeri tahun lepas, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pengiktirafan sewajarnya perlu diberikan kepada petugas perkhidmatan awam negeri, terutama dalam membantu Kabinet kerajaan negeri melaksanakan dasar-dasarnya.

"Dengan kerjasama anda, anggota perkhidmatan awam dan usaha gigih tahun lepas, kita berjaya mencatatkan rekod hasil baharu, yang menyaksikan perolehan hasil negeri melonjak menjangkau hampir RM12 bilion.

"Kami di dalam kerajaan juga akan sentiasa mencari jalan baharu untuk mengukuhkan ekonomi negeri terutamanya dalam menuju ke arah negeri maju dengan pendapatan tinggi," katanya semasa berucap di majlis sambutan Tahun Baharu Cina pejabat Premier Sarawak di sini semalam.

Pada 2 Feb lepas, Abang Johari berkata Sarawak mencatatkan perolehan hasil RM11.9 bilion bagi tahun 2022, prestasi tertinggi dicatatkan kerajaan negeri sehingga kini.

Beliau berkata angka itu melepasi perolehan hasil yang diunjurkan yakni RM10.2 bilion, sebanyak 17 peratus.

Abang Johari berkata perolehan hasil negeri Sarawak melibatkan empat kategori utama, yakni hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil serta pembayaran balik dan geran persekutuan.

-- BERNAMA