Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan pertambahan satu kes positif COVID-19 di Lawas hari ini.

Ini menyaksikan Sarawak setakat ini sudah mencatatkan 704 kes positif COVID-19 dan daerah Lawas kini diisytiharkan sebagai zon kuning.

Kes ke-704 melibatkan seorang petugas kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) yang menjalani ujian saringan sebelum menyertai Pasukan Bantuan Kesihatan Awam ke Sabah bagi membantu menangani penularan COVID-19 di negeri itu.

“Kes menjalani ujian saringan COVID-19 di sebuah klinik kesihatan pada 20 September 2020 dan keputusan ujian saringan rT-PCR pada 25 September 2020 menunjukkan kes positif COVID-19.

“Kes dilapor mengalami demam dan batuk pada 1 dan 2 September 2020 dan ketika ini kes telah dirujuk ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Hasil siasatan awal menunjukkan kes ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara tetapi pernah melawat Kota Kinabalu, Sabah pada 26 Julai 2020 atas urusan peribadi dan menginap satu malam di sebuah pangsapuri di sana.

Siasatan awal juga menunjukkan kes ini berkemungkinan merupakan kes jangkitan tempatan.

Bagaimanapun, kes ini masih dalam siasatan lanjut dan pengesanan semua kontak rapat sedang dijalankan termasuk kontak keluarga, kontak tempat kerja dan kontak sosial.