BETONG: Sarawak dijangka menerima vaksin COVID-19 jenis CanSino pada pertengahan Julai, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu memberitahu, kerajaan negeri juga telah memohon 650,000 dos vaksin CanSino daripada Kerajaan Pusat.

"Vaksin CanSino ini sesuai untuk penduduk di pedalaman. Ini kerana petugas kesihatan hanya perlu pergi ke kampung-kampung di luar bandar dan memberikan vaksin sekali sahaja.

"Berbanding vaksin lain, penggunaan CanSino boleh mengurangkan kos logistik dan lain-lain," katanya selepas meninjau Pusat Vaksinasi COVID-19 di Dewan Komuniti Spaoh di Betong.

Selain itu, menurut Uggah seramai 910,595 individu di Sarawak telah menerima dos pertama dan dos kedua setakat ini.

“Ada yang bekerja dua kali ganda sehari dan ini merupakan operasi kesihatan yang terbesar dalam sejarah,” katanya.

Menurutnya, Sarawak telah mempersiapkan asas untuk program vaksinasi sejak beberapa bulan lalu dalam memastikan proses itu berjalan lancar.