LIMBANG: Sarawak menzahirkan ucapan terima kasih kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Kerajaan Brunei atas sumbangan alat bantuan pernafasan dan alat ujian saringan bagi mengekang penularan COVID-19 di negeri itu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sumbangan itu membuktikan hubungan rapat Kerajaan Sarawak dengan Brunei Darussalam sekali gus mengukuhkan hubungan dua negara.

“Sumbangan ini adalah manifestasi kepedulian antara satu sama lain lebih-lebih lagi ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Selain Sarawak, sumbangan berupa fasiliti kesihatan bernilai RM1.7 juta itu turut disumbangkan kepada hospital kerajaan di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah berkata, lebih 47 ribu penduduk bahagian Limbang sudah menerima suntikan dos pertama.

Manakala lebih 16 ribu sudah lengkap menerima kedua-dua dos suntikan daripada sasaran 73,923 orang yang layak divaksin.

‘’Jadi keseluruhannya untuk bahagian Limbang untuk dos pertama 47,298 orang daripada jumlah keseluruhannya daerah Limbang dan daerah Lawas seramai 73,923 orang.

‘’Ini bererti untuk dos pertama kita telahpun mencapai 64 peratus, sementara untuk dos yang kedua seramai 16,005 orang dari segi peratusannya ialah 21.7 peratus,’’ tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa penyerahan sumbangan alat bantuan pernafasan Kerajaan Brunei kepada Pejabat Kesihatan Limbang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Limbang pada Isnin.

BACA: COVID-19: Malaysia hargai sumbangan, komitmen Brunei - Hishammuddin

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mewakili Kerajaan Malaysia turut menzahirkan penghargaan sama atas keprihatinan Brunei dalam membantu negara menangani penularan pandemik COVID-19.

Selain itu, jelasnya sumbangan Brunei ini juga mempamerkan hubungan diplomatik erat dan istimewa yang telah terjalin selama 37 tahun antara kedua-dua negara.

Bahkan, sumbangan ini turut menunjukkan komitmen tinggi kedua-dua negara sebagai negara anggota ASEAN dalam menangani krisis COVID-19.