Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengisytiharkan lima kawasan baharu terjejas dengan wabak anjing gila atau rabies, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan positif wabak tersebut meningkat kepada 41 kawasan di negeri itu.

Sekretariat JPBN Sarawak, dalam kenyataan, menyebut lima kawasan baharu itu yang terjejas ialah Jalan Teng Chin Hua di Sibu, Jalan Kilang di Bintangor Meradong (Sarikei), Jalan Airport Lama di Kapit, Piasau Jaya di Miri dan Lutong Shell Miri.

Justeru, JPBN menasihatkan pemilik mendapatkan suntikan vaksin untuk anjing mereka dan menghubungi pejabat veterinar terdekat jika haiwan peliharaan mereka menunjukkan tanda-tanda rabies seperti bertukar ganas, menggigit objek, air liur berlebihan dan sukar mengawal.

Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat di laman sosial JPBN di Facebook, Instagram dan Youtube berkaitan program pemvaksinan dijalankan dan keadaan terkini wabak itu di negeri tersebut.

Sejak wabak rabies diisytiharkan 30 Jun tahun lalu di negeri itu, sejumlah 12 orang meninggalkan dunia akibat wabak itu dengan kes terbaru membabitkan seorang lelaki berusia 44 tahun pada 21 Ogos lalu akibat Rabies Encephalitis.

Sementara itu di MIRI, Majlis Bandaraya Miri (MCC) akan mengandakan usaha menangkap anjing liar yang bekeliaran di kawasan awam khususnya di sekitar kawasan sekolah dan pasar di bandar itu.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata jika perlu MCC tidak teragak-agak mendapatkan khidmat kontraktor untuk membantu pihak berkuasa tempatan itu menangkap anjing yang berkeliaran memandangkan keselamatan penduduk menjadi keutamaan.

"Buat masa ini, MCC akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pelbagai organisasi untuk mengambil langkah bersama dalam menangani isu tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta pemiilik anjing supaya memastikan haiwan peliharaan mereka berada dalam perkarangan rumah bagi mengelak risiko penularan wabak rabies serta boleh membahayakan kesihatan anggota keluarga mereka.

-- BERNAMA