KUCHING:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengumumkan hanya 50 peratus kapasiti di majlis sosial dan rasmi dibenarkan di negeri itu ketika ini.

Pengumuman dibuat Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Sabtu.

Katanya keputusan yang membabitkan perhimpunan orang ramai itu dicapai oleh JPBN Sarawak menerusi mesyuarat yang dilangsungkan hari ini.

”Bagi majlis sosial dan rasmi yang membabitkan perhimpunan orang ramai, hanya 50 peratus tetamu dibenarkan mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal.

BACA: Sembilan kes baharu COVID-19 dilaporkan di Sarawak hari ini

“Sebagai contoh, jika kapasiti sesebuah dewan boleh memuatkan 1,000 orang dalam satu-satu masa, kita hanya membenarkan 50 peratus bagi kapasiti dewan berkenaan,” kata Uggah.

Selain itu JPBN Sarawak turut menekankan bahawa pihak penganjur wajib untuk menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) serta memastikan amalan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka diwajibkan untuk semua tetamu yang hadir dalam sesuatu majlis.

Selain itu tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan terus memperketatkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, dan sekiranya sesiapa yang melanggar arahan ini, mereka akan terus ditangkap dan dikeluarkan kompaun.

Uggah berkata demikian semasa sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Sabtu.