Tahun lepas dianggarkan lima trilion plastik dilepaskan di dalam laut seluruh dunia. Ini mampu mencetuskan krisis global yang perlu diambil tindakan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) Zolkipli Mohamad Aton berkata perairan negeri ini juga turut terdedah dengan pembuangan sisa domestik pepejal dan cecair.

"Awal pagi tadi dari tingkap saya ternampak tompokan minyak di dalam sungai sebelah sebuah hotel.

"Ini juga boleh mengundang kemusnahan alam sekitar kita," katanya ketika melancarkan program pemantauan dan pembersihan terumbu karang di Taman Negara Marin (TNM) Miri-Sibuti pada Isnin.

Beliau turut mengingatkan mengenai insiden sebuah kapal tangki minyak Jepun yang terkandas dan mengeluarkan berjuta liter minyak di Pulau Maldives yang dianggap sebagai satu bencana.

Bagi elak perkara sama terjadi di perairan negeri Sarawak, kerajaan negeri komited meneruskan pelbagai program pemuliharaan ekosistem hidupan marin di seluruh negeri ini.

Ia telah bermula seawal tahun 60-an, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksnakan antaranya projek pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti dan Projek Penanaman Tukun Tiruan Sarawak.

"Kerajaan negeri sangat komited untuk memelihara dan memulihara ekosistem marin kerana ia aset penting bagi menarik pelancong.

"Bagi mengekalkan keindahan alam di bawah air memerlukan bukan hanya mengutip sisa jaring dan sampah tetapi lebih daripada itu," tambahnya.

Seramai 40 penyelam dari SFC, Jabatan Perikanan, Polis Marin Malaysia, Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Whaleshark Miri, Dive@Borneo, Miri Divers, Future Ocean Borneo dan Kenyalang Underwater terliba dalam program berkenaan.


Lima kilogram sampah yang melekat di celah terumbu karang dan terapung di perairan itu berjaya dikumpulkan.

TNM Miri-Sibuti yang terletak di sempadan maritim antara Bintulu dan Miri meliputi kawasan seluas 186,930 hektar, adalah taman negara marin terbesar di Sarawak