Kerajaan Negeri Sarawak hari ini mengeluarkan kenyataan berhubung penguatkuasaan serta-merta undang-undang negeri untuk semua aktiviti minyak dan gas termasuk Ordinan Pengagihan Gas 2016
melibatkan kesemua pemain industri sumber petroleum di negeri itu.
Kata kenyataan itu lagi, peraturan dibuat di bawah ordinan pelesenan telah diluluskan Kerajaan Sarawak dan akan dilaksana selaras kepentingan industri berkenaan.
"Proses pindaan akan dimulakan serta-merta termasuk peraturan di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Kanun Tanah 1958.
"Bagi ordinan yang telah dikuatkuasakan, pihak berwajib berkaitan diarah memulakan proses pematuhan untuk dikuti semua pemain industri," kata kenyataan itu pada Ahad.
Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap memberi peluang kepada pemain industri meneruskan perniagaan masing-masing sehingga akhir 2019 dengan mematuhi segala langkah selaras pematuhan undang-undang negeri.
Semalam Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan bahawa Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang telah diamanah untuk menguatkuasakan pentadbiran itu telah bersedia sepenuhnya menggalas tanggungjawab baharu berkenaan.
Berikutan pelaksanaan itu, Petronas dan semua syarikat lain menjalankan aktiviti berkaitan petroleum dan gas di negeri Sarawak perlu mendapatkan lesen dan permit pada kadar segera atau dikenakan tindakan undang-undang.