KUCHING:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini melaporkan pertambahan empat kes positif COVID-19 melibatkan tiga kes di daerah Kuching dan satu kes di Miri.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kes positif di Sarawak meningkat kepada 759 kes setakat ini.

Menurut Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dua daripada kes tersebut dikategorikan sebagai kes import A manakala dua kes lagi merupakan kes import B dan kes import C.

Dua daripada kes di Kuching yang dikategorikan sebagai kes import A melibatkan dua lelaki warga Indonesia dari Kalimantan Barat yang dipercayai memasuki Sarawak secara tidak sah pada 12 Oktober 2020.

“Mereka tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari dan menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan di sebuah hospital swasta di Kuching sebagai syarat untuk bekerja di Sarawak.

“Mereka telah menjalani ujian saringan pada 14 Oktober 2020 dan keputusan ujian mengesahkan mereka positif COVID-19 pada hari sama,” kata Uggah.

Tambah Uggah, berdasarkan sejarah perjalanan, kedua-dua kes ini mendapat jangkitan semasa berada di negara asal sebelum tiba di Sarawak.

Bagi kes ke-759, dikategorikan sebagai kes import C merupakan kontak rapat kepada ke-752 (kes import B).

“Kes dilaporkan menetap di Kuching dan telah melawat Kes-752 semasa kes tersebut sedang menjalani kuarantin di rumah di Samarahan.

“Pada 13 Oktober 2020, kes menjalani ujian saringan ujian dan disahkan positif pada 14 Oktober 2020,” tambah Uggah.

Justeru ketiga-tiga kes kini dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut dan pengesanan kontak rapat sedang dijalankan.

Manakala bagi kes ke-758 di Miri merupakan kes import B melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kota Kinabalu, Sabah dan singgah di Labuan sebelum tiba di Lapangan Terbang Miri pada 10 Oktober 2020.

“Kes bekerja di sebuah kapal gas asli cecair (LNG) terapung di luar persisir Sabah dan telah berada di atas kapal sejak 3 September 2020 sebelum sign off pada 10 Oktober 2020.

“Setibanya di Lapangan Terbang Miri, kes dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan disahkan positif COVID-19 pada 14 Oktober 2020,” jelasnya.

Untuk itu, kes telah dimasukkan ke Hospital Miri pada hari sama untuk rawatan lanjut dan pengesanan kontak kepada kes ini sedang giat dijalankan.