Akta Koperasi baharu di fasa akhir, tunggu dibentang kepada Jemaah Menteri – Nanta

Pemangku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Ketua Setiausaha KUKOP, Khairul Dzaimee di Putrajaya pada Isnin. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kini berada di peringkat terakhir memuktamadkan kertas cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Koperasi baharu yang bakal menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502), yang akan dibentangkan di Parlimen.
Ringkasan AI
- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berada pada proses akhir untuk menyempurnakan kertas cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Koperasi baharu yang akan menggantikan Akta Koperasi 1993.
- RUU tersebut digubal sebagai akta baharu sepenuhnya kerana Akta 502 yang sedia ada sudah tidak lagi relevan dengan keperluan semasa, setelah beberapa kali dipinda sebelum ini.
- Pemangku Menteri KUSKOP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa RUU hampir disiapkan dan akan diedarkan kepada kementerian berkaitan untuk mendapat ulasan sebelum dibawa ke Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
Menurut beliau, keperluan menggubal undang-undang baharu timbul ekoran Akta 502 yang berusia tidak lagi seiring tuntutan semasa, meskipun telah beberapa kali dipinda sebelum ini.
Alexander menjelaskan bahawa penyediaan RUU kini berada pada peringkat akhir, dengan kementerian hampir bersedia mengedarkannya kepada kementerian-kementerian berkaitan untuk mendapatkan ulasan akhir.
“Kita sudah berada pada peringkat akhir. Yang tinggal hanyalah proses edaran untuk ulasan kementerian lain sebelum Memorandum Jemaah Menteri (MJM) dibawa ke Mesyuarat Kabinet, yang saya dimaklumkan akan berlaku dalam masa yang sangat singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di bilik Gerakan KUSKOP di sini pada Isnin.
Sebelum ini, bekas Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, KUSKOP sedang dalam proses menggubal Akta Koperasi baharu dan kertas Jemaah Menteri mengenai perkara itu telah dibentangkan serta dipersetujui secara prinsip pada 8 Jan lepas.
Mengulas permulaan tugasnya, Alexander berkata beliau hadir ke KUSKOP hari ini bagi memperkenalkan diri, bertemu kepimpinan tertinggi kementerian serta menerima taklimat awal mengenai hala tuju 2026.
“Saya datang ke KUSKOP untuk memperkenalkan diri dan mendapatkan taklimat daripada kementerian. Saya ucap terima kasih kepada KSU dan seluruh warga KUSKOP yang telah menerima saya dan memberi taklimat yang sangat terperinci,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa meskipun memegang portfolio itu secara pemangkuan, beliau komited memastikan semua perancangan dan strategi yang telah digariskan untuk 2026 berjalan seperti ditetapkan.
“Sejak saya diumumkan sebagai Menteri Pemangku, saya mengambil berat tanggungjawab ini. Saya mahu pastikan segala perancangan yang telah ditetapkan berjalan mengikut jadual,” ujarnya.
Alexander turut menyambut baik strategi kementerian yang memberi fokus kepada kumpulan sasar termasuk usahawan di Sabah dan Sarawak serta peningkatan sokongan kepada usahawan di seluruh negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


