MALAYSIA
Sarawak lulus RUU tambah 17 kerusi DUN

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang menyaksikan pertambahan 17 kerusi baharu. - Foto hiasan/BERNAMA
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang menyaksikan pertambahan 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99 kerusi DUN.
RUU berkenaan yang dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah diluluskan secara sebulat suara selepas dibahas 31 ADUN.
"Ini adalah peningkatan terbesar yang pernah kami lakukan, mungkin yang terbesar di antara semua negeri di Malaysia. Mungkin mengambil masa 10 tahun atau lebih sebelum kita melihat peningkatan berikutnya," katanya dalam ucapan penggulungan sesi persidangan khas DUN Sarawak hari ini.
Abdul Karim berkata komposisi baharu sebanyak 99 kerusi dijangka dilaksanakan dalam pilihan raya negeri akan datang.Beliau berkata pertambahan kawasan pilihan raya negeri adalah langkah penting bagi membuka jalan untuk sebarang peningkatan perwakilan di peringkat Persekutuan pada masa depan.
"Diharapkan langkah ini akan dapat dilihat dalam peningkatan bilangan kerusi Parlimen seterusnya menyokong permintaan kami agar satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat diwakili Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak," katanya.
Sebelum ini, ketika membentangkan RUU itu, Abdul Karim berkata peningkatan yang dicadangkan adalah perlu bagi memastikan komposisi DUN selaras dengan perubahan demografi Sarawak, pertumbuhan bandar dan keperluan perwakilan yang lebih adil, terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Beliau berkata komposisi semasa sebanyak 82 ahli yang dipilih, seperti yang ditetapkan di bawah Ordinan DUN (Komposisi Keanggotaan) 2014 kini akan dimansuhkan dan digantikan dengan RUU yang baru diluluskan itu.
Bilangan kerusi DUN telah ditambah secara berkala daripada 48 pada 1969, kepada 56 pada 1985, 62 pada 1995, 71 pada 2005 dan akhirnya 82 pada 2014.
RUU baharu ini selaras dengan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan semakan sempadan pilihan raya tidak kurang daripada setiap lapan tahun.
Kali terakhir proses persempadan semula kawasan pilihan raya di Sarawak adalah pada 2015.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami