KUCHING: Sarawak mahu terus mengangkat identitinya sebagai “Soul of Borneo” dengan menjadikan kelestarian alam, budaya dan kehidupan masyarakatnya yang dekat dengan alam sebagai antara kekuatan utama negeri itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hubungan rapat antara manusia dan alam semula jadi bukan sahaja dapat dilihat menerusi budaya dan tarian masyarakat Sarawak malah turut menjadi asas kepada pendekatan pembangunan ekonomi negeri itu.
“Dalam berdepan cabaran perubahan iklim dan peningkatan suhu dunia, kita menumpukan kepada penggunaan tenaga bersih serta pemeliharaan hutan bagi memastikan pembangunan dapat bergerak seiring dengan kelestarian alam.
“Budaya kita sendiri mencerminkan hubungan antara manusia dan alam, hidup dalam keharmonian, bukan sahaja sesama pelbagai kaum tetapi juga dengan alam,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala “Soul of Borneo” sempena penganjuran Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) Travel Mart 2026 di sini malam ini.
Abang Johari berkata pendekatan itu turut diterjemah menerusi penggunaan tenaga hidro, solar dan biojisim selain pembangunan sistem pengangkutan awam Transit Aliran Autonomi (ART) yang menggunakan hidrogen.
Beliau berkata Sarawak juga ingin berkongsi keunikan alam, budaya serta makanan negeri itu dengan lebih ramai pelancong menerusi pelbagai pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) termasuk Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Niah, Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi dan Kuching Delta Geopark.
– BERNAMA